Monday, June 1, 2009

ULARMAK vs ULAMA'

Saya terpanggil untuk memberi sedikit pandangan pada isu Kepimpinan Ulama yang mutakhir ini yang banyak diperkatakan di beberapa akhbar pro Pas / pro ulama’ yang pada hemat saya telah memetik dan menggunakan kenyataan Tuan Guru Nik Aziz secara tidak adil dengan memberikan gambaran seolah Tuan Guru telah menolak golongan bukan ulama dan meletakkan punca konflik keatas bahu mereka.

Waktu rencana ini ditulis percalonan untuk pemilihan di Muktamar Agung Tahunan PAS ke-55 telah pun lama selesai dan Hj Abdul Hadi Awang kekal sebagai Presiden seperti disangka manakala nasib golongan pro-nya pula terpaksa menunggu hari pemilihan nanti, tetapi secara kaedah assobiyyahnya maka tiada masalah bagi mereka yang pro-ulama untuk kekal! Pendapat saya dan ribuan pendapat penyokong Pas lain tidaklah mampu memberi kesan atau mengubah apa yang terjadi dalam parti yang mentaati ulama ini. Pada hal secara halusnya saf kepimpinan telah pun ditentukan!, pemilihan didalam muktamar agung nanti hanyalah formaliti sahaja.

Pas dengan dasar kepimpinan ulama bukan sahaja mentarbiyahkan ahli dan saf kepimpinannya dengan nilai akhlak kepimpinan ulama, bahkan telah mentarbiyah ahlinya dengan nilai-nilai ketaatan dan kepatuhan mutlak kepada para ulama-ulama pemimpin agama. Gelombang konflik dan ribut pemilihan walau hebat manapun tidak akan membawa apa-apa perubahan tanpa restu para ulama. Idealisma kepimpinan profesional dan ulama ataupun profesional ulama hanyalah siasah yang menggerak momentum politik semata-mata, secara realitinya ia tidak akan menjadi mentaliti dan pakaian parti yang mutakhir ini dianggap platform esklusif golongan berpendidikan agama mengembangkan sayap dalam kancah politik yang banyak ghanimahnya. Kata seorang teman; seperti lari dari satu lubang kepada satu lubang yang lain, tetapi dalam gumuk (busut) yang sama. Kesepakatan para lubang adalah mentaati tuan punya gumuk. Tidak akan ada perubahan trend kepimpinan kecuali kita mengambil iktibar kaedah kerajaan sah negeri Perak yang mengadakan pilihan raya bagi Pemilihan Ketua Kampung dimana rakyat menyampaikan haknya!

Ingin saya nyatakan disini sokongan yang tidak berbelah bagi pada Pas, kerana tiada yang lain lagi parti Islam di negara ini selain Parti Islam Semalaysia, PAS. Tetapi menyokong Pas bukan bermakna saya menyokong Presiden Pas. Saya menyokong Pas, tetapi tidak mungkin akan menyokong Hj. Abdul Hadi Awang sebagai pemimpin ulama Pas selepas rekod buruk beliau mentadbir Kerajaan Pas Terengganu selepas PRU ke10 dahulu. Kegagalan beliau bukan sahaja sebagai ketua negeri, bah sebagai ulama tersohor Pas yang seharusnya meyelesaikan konflik hukum citptaan beliau sendiri yang menyebabkan perpecahan masyarakat ketika itu. Pada saya, rekod kegagalan Kerajaan Pas Terengganu adalah kegagalan peribadi beliau sebagai pemimpin ulama, bukannya kegagalan Pas dan bukannya kegagalan Institusi Ulama Pas yang disanjung tinggi. Bahkan bukan silap para pengundi!!

Jadi, apa daya saya? Pengundi kerdil berlagak juara mengkritik presiden bertaraf ulama (yang selalu bermimpi jumpa nabi dakwa pengikutnya), pendapat seorang siapa nak dengar, siapa nak percaya?? Sebenarnya seorang pun cukup, dua sudah ramai, kalaulah pemimpin bertaraf ulama itu benar-benar berjiwa ulama pewaris Nabi, satu kritikan sudah cukup untuk bermuhasabah menilai diri dan amanahnya sebagai ulama’, tetapi kalau disebaliknya darjat beliau sebagai ulama maka seluruh ahli Pas pun tidak cukup untuk menegurnya!

Walaupun sudah lebih 20 tahun menyokong dan mengundi Pas, dan sedari baligh lagi sudah menganggap diri ahli Pas kerana dilahirkan Islam dan beribu-bapakan orang Islam pengikut Pas, tetapi saya bukanlah aktivis sejati Pas kerana tidak pernah bekerja untuk mana-mana pemimpin Pas dan juga tidak berpendidikan agama, alim saya hanyalah sebagai perunding rekabentuk senibina sahaja, jadi sokongan dan kesetiaan saya bolehlah dikatakan kerana dilahirkan dalam keluarga penyokong Pas walaupun tanpa serban dan jubah.

Samada saya layak atau tidak memberi pendapat atau mengkritik kepimpinan Pas bukanlah isu yang wajar, saya wajib dan berhak kerana saham dari undi saya pada lima pilihanraya mewajarkan saya. dan pemimpin harus, bahkan wajib menjawabnya selagi urusannya sebagai pemimpin melibatkan kepentingan saya sebagai pengundi. Sebagai pemimpin samada ulama’ atau tidak ulama, sebagai pemimpin politik atau pemimpin agama, selagi mereka berasa layak dan berhak memimpin bermakna pemimpin terdedah kepada kritikan, tiada pengecualian atau kekebalan semata-mata pemimpin golongan ulama’.

Dukacita dinyatakan isu kepimpinan ‘ulama’ bukan sahaja telah menjatuhkan kredebiliti dan maruah pemimpin golongan profesional yang rata-ratanya agak warak dan alim dalam agama seolah-olah mereka tidak layak dan tidak pernah memberi sumbangan kepada kebangkitan Pas, bahkan juga telah mengguris hati para penyokong dan pengundi yang bukan dari pendidikan aliran agama seolah-olah tiada tempat dalam parti yang telah dianggap eksklusif untuk orang alim agama sahaja, seolah-olah pentingnya mereka mungkin hanya untuk pilihanraya sahaja.

Merujuk kepada beberapa isu panas samada lama atau baru sepanjang kepimpinan golongan ‘ulama’ saya ingin bertanya beberapa soalan, yang pada hemat saya kalau gagal menjawabnya, mereka; bagi menyokong budaya akhlak mulia ulama’ yang hebat, berintergriti dan bertanggung jawab haruslah mengundur diri dan memberi laluan kepada pemimpin lain yang lebih layak, yang masih belum gagal sebagai pemimpin parti dan juga sebagai pemimpin rakyat!. Iaitu;

1. Dasar Kepimpinan Ulama, pada zaman awalnya telah diterima sebagai tarbiyah atau penerapan nilai-nilai kepimpinan ulama dalam budaya gerak kerja Pas serta penerapan nilai-nilai akhlak, ilmu dan keterampilan kepimpinan ulama’ kedalam sahsiah diri pemimpin Pas ketika itu tanpa mengira samada mereka dari aliran berpendidikan agama ataupun tidak, yangmana pada ketika itu golongan terpelajar dalam bidang agama dari institusi yang diiktirafkan lebih tertumpu untuk menyertai Umno yang melaksanakan dasar Penerapan Nilai-nilai Islam gagasan Anwar Ibrahim ketika itu meninggalkan Pas dengan label ulama’ pondok dan ulama’ kampung.

Manakala sekarang, Pas cuba melaksanakan konsep kepimpinan ulama berdasarkan pengiktiran dan pensijilan pendidikan formal dalam bidang agama sebagai prinsip asas pemilihan kepimpinan bertaraf ulama.

Soalannya, adakah dengan prinsip asas tersebut pemimpin ulama’ berprofesional adalah lebih baik dari pemimpin bukan aliran agama yang sedari awal kebangkitan Pas telah mentarbiyah diri dengan nilai-nilai akhlak kepimpinan ulama’?? Adakah tarbiyah kepimpinan ulama’ dalam Pas menyebabkan mereka riak dengan kelebihan gelaran ulama’ sehingga menganggap lebih layak walaupun ada akhlak pemimpin tidak menunjukkan akhlak ulama’?
Soalannya, Bukankah para ulama’ juga yang mentafsir hadith bahawa dengan menyokong pemimpin yang tidak benar dan khilaf semata-mata kerana kaum atau puak (bergelar ulama’?) adalah sifat-sifat assobiyyah??

2. secara umumnya, masyarakat mengentahui dasar pendidikan formal didalam aliran agama dimana-mana institusi pendidikan yang diiktirafkan samada dalam negeri atau luar negara adalah berdasarkan sistem pecah dan pengasingan melalui penjurusan bidang kerjaya, seperti jurusan syariah, pentafsiran hadith, hukum dan sebagainya, serta meninggalkan cabang ilmu yang dianggap duniawi melibatkan sains, kejuruteran, perubatan, pengurusan pentadbiran, sosial, politik dan lain-lain kepada sistem pendidikan barat.

Pengasingan dan penjurusan ilmu agama mengikut bidang kerjaya telah menjadikan lulusan jurusan agama tidak lagi berpaksikan akhlak dan iman, malah penjurusan bidang adalah kaedah pembatasan ilmu, walaupun memiliki ijazah tidak bermakna mereka ini mempunyai kreteria yang selayaknya sebagai pemimpin bertaraf ulama’ samada didalam parti atau didalam kerajaan. Kalaupun ada bukannya hanya kerana sijil dan ijazah, tetapi kerana anugerah bakat kepimpinan dan keterampilan peribadi yang memiliki semua sifat-sifat terpuji yang seharusnya ada pada ulama.

Soalannya, bila kepimpinan Pas mensyaratkan hanya yang berkelayakan ulama’ sahaja diterima sebagai pemimpin tertinggi, tidakkah mereka sedar bahawa mereka telah menggunakan syarat kelayakan ulama’ sebagai alat dasar pengasingan atau dasar pecah dan perintah dakyah orientalis barat sedangkan Pas adalah benteng terakhir perjuangan umat islam negara ini?
Soalannya, bukankah cabang ilmu bidang profesional juga mencangkupi ilmu-ilmu yang terdapat dalam Al-quran? Manakala melihat gelaran ulama’ pada sejarah pendidikan dan ijazah hanyalah satu andaian? Bukankah secara tradisinya memberi gelaran ulama’ itu hak masyarakat kepada mereka yang diyakini ilmunya sebagai sumber rujukan dan panduan masalahat umum masyarakat?
Soalannya, mistikah dan pentingkah ulama’ berkuasa? Menjadi pemimpin parti atau pemimpin kerajaan? Bukankah menjadi ulama’ pemimpin agama adalah lebih tinggi dari mana-mana pemimpin masyarakat yang berkuasa? Bukankah usaha ulama’ meletakkan nilai-nilai kepimpinan ulama’ pada setiap pemimpin yg berkuasa lebih penting dari ulama’ itu sendiri menjadi pemimpin berkuasa? Kalau benar ulama’ perlu berkuasa, bagaimanakah kaedahnya mencari ‘pemimpin ulama’ yang benar-benar ulama’, yang BUKAN dulunya mengatakan melayu assobiyyah itu kafir dan hari ini pula mengatakan assobiyyah melayu itu Islam??
Soalannya, benarkah penonjolan dan permashuran kepimpinan ulama bertaraf profesional dikatakan kerana golongan pro-ulama mempunyai kepentingan strategik ekonomi pada struktur kuasa Pas dan hubungannya dengan pemerintah?? Sekiranya tidak benar, bolehkah kepimpinan Pas membersihkan tohmahan dengan mengarahkan semua pemimpin mengistiharkan harta dan audit bebas dilakukan bagi membersihkan fitnah dan dilihat lebih telus dan jujur berbanding Umno??

3. Biar kita andaikan, Kerajaan Perpaduan itu benar-benar wujud selepas golongan pro ulama berkuasa sebaik selesai muktamar nanti!, maka para ulama dan pemimpin berpendidikan agama didalam Umno seperti Dato’ Dr Hamid Othman, Astora Jabat, Dr. Mashitah Ibrahim dan lain-lain, berdasarkan kepakaran ilmu mereka dan juga hubungan yang baik dengan pemimpin ulama’ Pas, besar kemungkinannya juga mereka akan menyertai Pas atas dasar semangat perpaduan. Bermakna mereka ini layak menyertai barisan kepimpinan ulama’ dan layak untuk bertanding jawatan dalam parti pada muktamar yang akan datang.

Juga, dengan ramainya penyertaan golongan terpelajar berkelulusan agama samada mereka pegawai kerajaan atau hanya sekadar ustaz kelas fardu-ain, berkelayakan pendidikan agama secara automatik meletakkan mereka sebagai ahli Pas bertaraf alim ulama. Manakala ahli-ahli Pas lain yang bukan alim agama akan menjadi ahli kelas kedua dan secara prinsipnya ahli-ahli Pas terbahagi mengikut kasta. Secara logiknya, golongan pemimpin bukan ulama walaupun masih diperlukan tetapi tidak lagi penting peranannya. Kalau setakat memberi nasihat bidang profesional, parti boleh melantik sesiapa saja sebagai perunding profesional, sebagai ketua kerajaan pula pemimpin ulama’ boleh gunakan kepakaran agensi-agensi kerajaan sebagai penasihat dalam apa saja bidang yang diperlukan, maka tiada masalah pemimpin ulama kekurangan kepakaran untuk memerintah kerajaan.

Soalannya, bolehkah kita katakan Parti Pas adalah parti berpuak(assobiyyah) yang sama kaedahnya dengan Umno atau Parti Dayak Bersatu Sabah? Cukup beranikah para pimpinan ulama’ mengistiharkan secara terbuka untuk menyelesaikan kemelut bahawa Pas adalah Parti Ulama Malaysia dan bukan lagi Parti Islam Malaysia? Sekiranya benar adakah bermakna keahlian mereka yang bukan aliran agama dalam PUS hanyalah berfungsi semata-mata sebagai pemberi undi untuk membolehkan pemimpin ulama menang pilihanraya dan memerintah negara?
Soalannya, berdasar perkembangan semasa, masyarakat diluar parti ulama’ akan menganggap pendirian presiden parti yang ulama’ sebagai pendirian parti, samada mereka harus percaya pendirian presiden ulama’ sewaktu sebelum PRU ke10 yang mengatakan melayu Umno adalah dasar assobiyyah kafir atau harus percaya pada pendirian sekarang yang mengatakan assobiyyah melayu itu Islam?
Soalannya, Penolakan pada kepimpinan profesional Pas yang tidak ulama’ adakah bermakna penolakan kepada rakan PR yang dilihat tidak islamik seperti DAP dan PKR memandangkan golongan pemimpin profesional adalah penghubung kepada rakan-rakan PR? Jadi, sekiranya perikatan dalam PR dilihat sebagai perikatan sehala bagi tujuan pilihanraya sahaja, maka adakah Umno rakan bagi perikatan baru??

4. Sekiranya dimashurkan Pas adalah parti ulama yang dipimpin ulama bertaraf ulama’ berprofesional dan disokong oleh pimpinan pro-ulama’ bertaraf ulama’ berprofesional jugak, yang sebelum PRU 10 membuang songkok memakai ketayap, serban dan jubah bagi mengulama’kan diri sebaris dengan pemimpin ulama’ mereka dan kini selepas PRU 10 kembali jarang-jarang berjubah dan berketayap bagi menyesuaikan diri dengan imej ulama’ berprofesional pula.

Jadi, memprofesionalkan institusi ulama’ dan para ulama’ tidak cukup setakat imej luaran dan permashuran sahaja. Kalaulah bidang-bidang profesional lain mempunyai Lembaga atau Pertubuhan masing-masing seperti Majlis Peguam, Pertubuhan Arkitek Malaysia dan lain-lain badan profesional. Badan-badan profesional ini berfungsi untuk memantau dan menilai tahap ilmu, kemampuan, pengalaman dan kewibawaan setiap ahli sebelum layak diberi gelaran pakar atau profesional mengikut bidang kerjaya masing-masing. Membawa gelaran profesional bermakna setiap ahli benar-benar menguasai ilmu dan kepakaran terlibat dalam memberi khidmat kepada pelanggan dalam batas undang-undang kepakaran masing-masing tanpa melibatkan persepsi, hubungan dan kepentingan peribadi.

Sesuai dengan kewibawaan perkhidmatan dan kepakaran, nilai gelaran profesional diterjemah dalam bentuk yuran perkhidmatan yang tinggi dan pengiktirafan dari masyarakat. Tahap profesional juga bermakna para pengamalnya tidak terikat kepada kepatuhan dan kepercayaan agama, kepercayaan peribadi dan tradisi, kepatuhan pengamal hanya pada prinsip-prinsip ilmu dan amalan kepakarannya, undang-undang lingkungan bidang kepakaran serta kepatuhan kepada pelanggan yang membayar khidmatnya.

Soalannya, sekiranya benar ulama’ berprofesional membawa maksud yang sama dengan pengamal bidang-bidang profesional lain, maka pihak manakah atau badan manakah yang berkelayakan dan berkuasa memberi gelaran tahap pakar pada para ulama dan apakah kaedah yang digunapakai bagi menilai, memantau, menentukan tahap ilmu, kemampuan dan kewibawaan pengamal ilmu berkaitan keulamakan? Adakah tahap profesional ulama’ bermakna sama seperti bidang lain yang pengamal tidak terikat pada nilai akhlak, sifat dan perlakuan peribadi, tuntutan nilai taqwa dan kepatuhan pada agama??
Soalannya, sekiranya ulama’ berprofesional membawa tahap profesional setara dengan bidang-bidang profesional lain, maka ia adalah bermaksud bidang kerjaya atau perkerjaan menyara hidup dalam bidang berkepakaran tinggi atau profesional.
Jadi, bolehkah dianggap ulama yang berkepakaran tinggi atau profesional adalah pekerjaan berdaya maju dan mempunyai nilai komersil??
Soalannya, Secara tradisi masyarakat mendapat khidmat ulama secara percuma. Jadi, benarkah anggapan umum bahawa ulama’ profesional tidak lagi relevan pada masyarakat untuk kuliah agama yang biasa-biasa kerana terpaksa membayar mahal, kecuali dalam keadaan masyarakat mempunyai potensi komersil, contohnya pada musim pilihanraya umum atau musim parti bermuktamar, ceramah diberi percuma??
Soalannya, benarkah anggapan umum bahawa memberi taraf profesional kepada ulama’ akan dieksploitasi secara komersil khususnya dalam industri pembuatan barangan halal, iaitu dengan megeluarkan pengesahan profesional atau terlibat secara langsung dalam pengiklanan?
Soalannya, benarkah permashuran ulama berprofesional adalah satu kekeliruan bila tiada penjelasan detail tehadap ruang lingkup ulama berprofesional?
Sekiranya benar, bukankah permashuran ulama berprofesional adalah bida’ah dan dakyah bagi propaganda politik yang merosakkan dan mengaibkan kredibiliti institusi ulama yang secara tradisinya adalah authoriti agama?

5. Bolehkah kita katakan kejayaan pemerintahan Pas Kelantan sebagai kejayaan pemerintahan ulama? Manakala kegagalan pemerintahan Pas Terengganu adalah kegagalan ulama? Tentu sekali tidak, fikiran demikian tidak adil pada institusi ulama. Apalagi gagal atau berjaya pemerintahan tidak bergantung kepada berapa lama atau berapa kerap menang pilihanraya, tetapi dinilai kepada apa yang telah dilakukan walau terhad dan sekejap seperti pemerintahan Pas Perak yang dianggap berjaya!

Institusi ulama itu sendiri tegak kerana pendokong-pendokongnya, kegagalan pendokong bukanlah kegagalan institusi yang dijamin kejayaannya oleh agama. Maka kejayaan Kelantan bolehlah dianggap kejayaan Tuan Guru Nik Aziz sebagai individu ulama yang berjaya membawa peranan dan akhlak ulama ketahap yang sepatutnya kedalam jiwa pemerintahan Pas Kelantan. Maka juga, kegagalan di Terengganu harus dilihat kegagalan individu pemimpin ulamanya, berdasarkan kerosakan dan hasil kerjanya dan bukannya dinilai kerana kalah pilihanraya!

Soalannya, macam-macam analisa, kajian, post mortem dan sebagainya dibuat mencari punca kekalahan PRU ke11 Pas di Terengganu, selain dari politik wang dan pengundi hantu, adakah faktor kredibiliti kepimpinan pernah diambil kira?? Oooppssss lupa… ahli panel siasatan pun puak tu juga kann???

6. Seorang kolumnis Harakah telah menulis kebimbangan beliau bahawa wujudnya trend tidak menggunakan saluran parti untuk menegur dan menkritik kepimpinan parti, sasaran adalah blogger-blogger yang pada anggapan beliau adalah pembawa fitnah, tidak berakhlak, pengadu domba, penakut, jahil dan pencaci maki. Belaiu secara terbuka mengugut akan menghambat ‘sampai ke lubang kubur’!!

Saya bukanlah blogger yang dimaksudkan tetapi sebagai pengguna siber saya agak tersentuh tuduhan dan ugutan seperti itu yang datang dari media lidah rasmi Pas. Pada sesetengah keadaan diantara berbohong dengan fitnah membawa kesan yang sama. Bila kolumnis ini berbohong mendakwa tidak wujud pertembungan diantara golongan ulama dan golongan profesional maka para blogger membawa isu ini akan dituduh pemfitnah, bila para pemimpin Pas secara terbuka menyaran atau memberi amanat (bertembunglah itu!) untuk memilih kepimpinan ulama bagi jawatan-jawatan tertinggi parti bermakna kolumnis ini telah memfitnah blogger-blogger sebagai pembawa fitnah. Ini adalah contoh aktivis periuk belanga menjaga parti!

Wujudkah saluran parti, bila Tuan Guru Nik Aziz sendiri menulis pada Harakah digam ditapis dan disunting. Wujudnya saluran parti dalam Pas hanya untuk 3 kategori manusia, iaitu:
i. untuk sahabat sepuak atau orang-orang yang sama alirannya.
ii. untuk orang-orang yang bias atau loqlaq pendapatnya supaya senang ditangkis hujahnya.
iii. untuk kritikan-kritikan yang tidak memberi aib pada puak pemimpin ulama pilihan mereka.

Dalam Pas pencacai-pencacai biasanya mengangkat ulama-ulama tertentu secara berpilih dan membiarkan ulama-ulama yang lainnya. Contohnya, bila Nik Abduh menyatakan sokongannya kepada Tuan Hj Hadi dan mengaibkan Pas Kelantan dan TG Nik Aziz selaku ketuanya, yang juga ulama’! kemana perginya pencacai-pencacai ini, mengapa tidak dibela Nik Aziz selaku ketua Ulama’ Pas. Dan selaku orang tua pemimpin tertinggi Pas mengapa Hj Hadi tidak berperanan meredakan isu tersebut? Adakah kerana isu tersebut lebih menguntungkan beliau kalau berlarutan. Politik tetap politik, miang politik mabuk kuasa boleh terkena siapa saja walaupun ulama’, apalagi taraf ulama’ secara hakikinya tidak kekal..

Soalannya, bolehkah saya menggunakanl ayat-ayat kolumnis harakah iaitu tidak berakhlak, pengadu domba, jahil dan penakut pada pemimpin-pemimpin pro-ulama’
Berprofesional yang menggunakan akhbar arus perdana yang bukan saluran parti bagi mengeluarkan kenyataan bohong mereka yang diragui tujuannya??
Soalannya, kolumnis Harakah mendakwa Pas dan pimpinannya bersifat terbuka, bersedia menerima kritikan dan teguran terbuka, bolehkah dan beranikah Pas membuka laman web bebas dari pantauan, contohnya seperti laman web face books supaya penyokong Pas bebas menghantar teguran dan kritikan?? Atau,
Seperti umno rakan pro-ulama yang mengamalkan dasar kebebasan berpilih??
Soalannya, dakwaan trend golongan jahil blogger memfitnah dan mengaibkan pemimpin Pas – mengapa pemimpin atau pencacai tidak menjawab secara rasmi tuduhan blogger bagi membukti ia satu fitnah?? Fitnahkah bila blogger mengulas pembohongan, penyembunyian fakta, pelanggaran ethika para pemimpin Pas dalam kes muzakarah bersama umno? Kitab mana? Hadith mana? Yang mengatakan para pemimpin ulama boleh berbohong dan curang tanpa dipertanggungjawabkan??
Soalannya, bila pemimpin pro-ulama’ bercakap isu memperkukuh Pakatan Rakyat untuk menumbangkan umno dan BN, dalam waktu yang sama menuduh wujudnya golongan pro-Anwar dan erdogan yang merosakkan parti. Sedangkan pemimpin pro-ulama ini seperti al-Iraqi, al-Tantawi dan lain-lain dengan bebasnya menggunakan akhbar pro-umno sebagai platform melancarkan dakyah! Siapakah pengkhianat?? adakah pemimpin pro-ulama sakit? Mengalami delusi? atau gangguan personaliti? Schizophrenia? dua jiiwa satu badan? Hari ini kukuhkan PR, esoknya fraksi Umno? Pagi pro-ulama, petang fularmak? Bolehkah orang sakit jadi pemimpin?

Soalannya, berapa banyak soalan daa.. banyak pun bukan bulih depa jawab!

Fasal soalan ni teringat saya akan suatu ketika dulu di Jepun, seorang menterinya bila ditanya kewajaran sebuah jabatan dibawah seliaannya meluluskan kemasukan penyanyi barat Michael Jackson yang sedang meghadapi tuduhan pencabulan kanak-kanak untuk membuat persembahan di Jepun, ahkirnya telah meletakkan jawatan dalam kabinet dan parti sebab gagal menjawab soalan tersebut.
Hanya dengan satu soalan menteri itu yang beragama shinto penyembah matahari dan nenek moyang telah meletak jawatan! Macammana dengan pemimpin kita??

Jangan harap la.. kecuali dalam mimpi atau cerita dongeng anak-anak pra sekolah! Pemimpin kita terlalu bagus, tidak mungkin mereka terfikir pernah silap dan khilaf, apalagi bila disokong dan dikipas oleh para pencacai-pencacai yang samada bejat sedari awal atau memang mendapat manfaat sebagai pencacai.
Apa yang penting pada mereka ini?? Pemimpin mereka menang atau islam yang menang? Mereka ini pejuang islam atau pejuang politik yang beragama islam??

Bagi saya, tidak perlu jadi alim umarak dengan serban dan jubah, mentafsir Quran dan Hadith, sekadar untuk mengatakan bahawa berpolitik atau main politik, berdalih, berbelit dan segala hal atas nama siasah politik itu bukan kerja atau tugas ulama. Tugas ulama adalah menyampaikan kebenaran dan haq dalam agama. Dengan rupa dan watak ulama politik sekarang yang meletak kepentingan siasah politik melebihi siasah dakwah agama, tidak memungkinkan islam menang walaupun Pas menang pilihanraya. Bahkan menjadi fitnah pada agama!

Saya benar-benar percaya, selagi alim ulama kita menyampaikan kebenaran dan haq dalam agama selagi itulah islam menang. Mungkin Pas kalah pilihanraya tetapi islam tetap menang selagi ulama menyampaikan haq dalam agama. Islam boleh menang dengan Pas, dan islam boleh juga menang dengan PKR, bahkan dengan DAP juga selagi dakwah alim ulama pewaris nabi kita sampai kehati mereka. Tetapi kalaulah ulama sekarang bukan orang yang benar… siapa lagi yang akan mengangkat agama?? Apa lagi kami yang cetek agama? Pada siapa kami akan gantung harapan??

Adakah masa depan agama mereka tergadai hanya kerana institusi ulama yang paling dihormati dan diyakini di negara ini goyah dan goyang kerana kerja-kerja politik segelintir pendokongnya?? Pikir-pikirlah tuan-tuan yang bijaksana… untung dan rugi perniagaan yang tuan ceburi!!

sam raspiut

No comments: