Wednesday, June 24, 2009

MENGAPA NIZAR DISALAHKAN BILA MEMBELA KERAJAAN PR PERAK?

Bahagian 1

Mengapa Nizar? Mengapa Nizar disalahkan bila membela Kerajaan PR Negeri Perak? Sebelum dan selepas kejatuhan kerajaan PR Perak kepimpinan Pas dilihat tidak galak bersama Nizar. Sekarang Nizar seolah-olah dihukum salah dan dia yang terpaksa membayar segala dosa-dosa Umno yang merampas kerajaan Perak dengan cara yang cukup jijik sehingga merosakkan segala kepercayaan rakyat kepada undang-undang dan keluhuran perlembagaan?

Sekurang-kurangnya ada tiga persoalan besar yang mengiringi kejatuhan kerajaan Perak yang mempunyai kaitan rapat dengan idea penubuhan Kerajaan Perpaduan, bahkan idea Kerajaan Perpaduan itu sendiri mungkin hanyalah cover-up story untuk menutup rahsia tersembunyi disebalik usaha terdesak Umno menjatuhkan kerajaan Rakyat Negeri Perak.

Persoalan pertama, mengapa Najib yang amat terkenal dengan sikap berhati-hati dan dilihat sebagai mengamal ‘politik selamat’ tiba-tiba menerjah dengan tindakan rampasan kuasa yang amat tidak popular itu? Najib bukanlah ahli politik yang terlalu bodoh untuk merosakkan reputasi beliau diambang peralihan kuasa, bahkan juga bukan seorang ahli politik yang terlalu berani untuk menjadikan usaha rampasan kuasa itu sebagai medal pertama merayakan perginya Tun Abdullah yang dipaksa bersara.

Secara logiknya Najib tidak akan mengambil risiko yang boleh menjejaskan reputasi dan peluangnya sebagai Perdana Menteri yang baru, kecuali peristiwa rampasan kuasa itu hanyalah sebahagian dari ‘skim yang lebih besar’ yang pengaruhnya melebihi kedudukan Tun Abdullah selaku PM luput tarikh pada ketika itu. Jadi, siapakah dalang perancang skim ini bila Najib sendiri dilihat bukan ahli strategis politik yang luarbiasa?

Najib sebagai TPM pada ketika itu dibayangi oleh berbagai masaalah yang bersifat internasional khususnya skandal Altantuya, tidak mungkin membahayakan peluangnya mengambil alih jawatan Tun Abdullah hanya kerana kerajaan minoriti Perak. Umno/BN walaupun agak lemah dan dihantui mimpi ngeri September 16, tidak akan pulih hanya dengan merampas kerajaan Perak, malah lebih memburukkan lagi kepercayaan Rakyat terhadap kerajaan UBN yang membusuk dan bernanah.

Mungkin juga merampas Perak hanya untuk menunjukkan betapa ganas dan berkuasanya mereka mempergunakan jentera kerajaan, undang-undang dan institusi raja sebagai alat menewaskan penentang UBN khususnya agenda September 16 atau apa-apa bulan yang ditaja oleh Anwar Ibrahim. Tetapi mengapa Perak?. Kalaulah sebagai medan menunjuk kekuasaan mutlak, maka kerajaan yang seharusnya dirampas ialah kerajaan Selangor atau Kelantan barulah lebih besar kesannya untuk ditakuti dan ditaati oleh rakyat.

Persoalan kedua, apakah keistimewa kerajaan minoriti Perak? Apa keistimewaan yang tersembunyi disebalik kerajaan yang rapuh dan lemah ini sehingga menjadi bahagian penting ‘skim yang lebih besar’ pada mereka yang merancangnya.

Untuk menilai keistimewaan dan keunikan kerajaan minoriti Perak, kita harus menilai dan memahaminya dari sudut kelemahan itu sendiri. Kelemahan kerajaan Perak adalah kekuatan dan kelebihan kepada PR. Banyak pihak menjangkakan pergeseran berlaku sewaktu penubuhan kerajaan PR. Bila DAP akur dan menyokong pilihan istana untuk melantik Nizar sebagai Menteri Besar bermakna permuafakatan dan perpaduan didalam PR adalah jelas dan jitu, DAP menerima Pas disebalik pendirian keras sebelumnya. Bermakna DAP juga telah mula menerima perjuangan islam Pas. Disebalik momokan parti anti islam, DAP telah menjadi tulang belakang kepada kerajaan Nizar.(?)

Kerajaan Rakyat Negeri Perak agak unik dan rumit, dibentuk dengan majoriti ADUN bukan bumiputra. Pas yang ADUNnya paling sedikit pula diberi kepercayaan mengetuai kerajaan, meninggalkan UBN sebagai pembankang yang majoritinya adalah bumiputra melayu. Kerajaan ini adalah contoh terbaik Kerajaan Perpaduan yang ditegakkan dari hasil permuafakatan dan persefahaman yang sungguh baik diantara ahli PR. Malah, potensi kerajaan Perak untuk menjadi model Sahifah Madinah juga dikatakan lebih baik dari kerajaan Kelantan yang majoriti rakyatnya adalah melayu Islam.

Ketokohan dan kewibawaan Nizar sebagai Menteri Besar Karajaan Perak telah memberi imej ketara sebagai kerajaan yang membawa idealis pemerintahan islam Pas, menolak dakyah yang menuduh kerajaan PR Perak adalah boneka DAP. Pengaruh Pas keatas kerajaan Perak ini walaupun cuba dinafikan oleh golongan Pas penyokong UG dengan merujuknya sebagai kerajaan boneka atau kerajaan Nizar, tetapi telah diterima baik oleh DAP dan PKR dimana ADUN mereka menyokong penuh usaha Nizar menerap nilai-nilai pemerintahan adil dan saksama sebagaimana model pemerintahan islam Pas Kelantan.

Cuba bayangkan kerajaan minoriti ini berjaya diuruskan dengan amat baik oleh Nizar, dengan semangat perpaduan dan permuafakatan jitu antara kaum menyelesaikan segala kemelut dan masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan UBN melalui akhlak kepimpinan islam dan nilai-nilai keadilan pemerintahan islam, maka pastilah kerajaan PR Perak ini akan diterima rakyat semua kaum sebagai contoh kerajaan perpaduan rakyat yang bakal menggantikan kerajaan UBN pada PRU ke13 nanti! Faktor inilah yang amat dibimbangi dan ditakuti oleh para pendokong UG dan UBN sehingga membawa kepada rampasan kuasa secara tidak bermoral menumbangkan kerajaan rakyat negeri Perak.

Merampas negeri Perak hanyalah sebahagian dari ‘skim yang lebih besar’ bagi arkitek perancang skim yang merupakan kuasa sebenar dibelakang Umno dan BN, iaitu usaha terakhir menumpaskan kebangkitan rakyat secara mutlak dan seterusnya menyelamatkan UBN dari berkubur pada PRU 13 nanti. Usaha merampas kerajaan sah PR Perak adalah fasa kedua skim mereka, maka kita harus melihat konflik isu muzakarah dan muqabalah antara Pas dan Umno sebagai fasa pertama atau pemula skim. Jadi, dimanakah konflik muzakarah/muqabalah ini memanfaatkan perancangan skim?

Usaha umno menganjurkan pertemuan dengan Pas (pro-ulama/pro-Umno) bukan kerana kepentingan rakyat atau kepentingan melayu, para pemimpin Pas ini amat memahami hakikat itu. Jadi titik tolak pertemuan tersebut adalah atas dasar survival politik masing-masing, bermakna pimpinan Pas ini sudah bersedia untuk dipermainkan dan dikhianati demi kelangsungan politik peribadi.

Mereka, ahli pertemuan gelap Pas/Umno ini berharap kegiatan mereka hanya terdedah disaat akhir agenda dilaksanakan, setidak-tidaknya selepas muktamar ke55 Pas, tetapi perancangan mereka tidak selari dengan skim Umno. Pada Umno para pimpinan Pas ini hanyalah batu catur strategi skim mereka. Bila Abdullah Badawi menghumbang mereka umpama batu ke jalanan, mendedahkan hubungan gelap pada umum, bermakna beliau mengharap kerosakan besar berlaku bagi membantu perlaksanaan skim besar mereka. Pergeseran secara terbuka berlaku didalam Pas yang pada akhirya pemimpin Pas ini telah melontar idea kerajaan perpaduan (UG) sebagai alternatif kepada kerajaan perpaduan PR sebagaimana yang diharapkan oleh Umno dan penaja skim.

Penjelasan UG melalui garapan ideal pimpinan Pas pro-Umno bermaksud mentarbiyyah Umno dan pimpinannya serta menanggalkan segala keistimewaan dan kuasa mereka sebagai pemimpin berkuasa, walaupun umum percaya idea ini karut, tetapi disebaliknya Umno menyambut baik usul UG ini. Kepuraan Umno ini memberi kesan dan hujah yang baik kepada penyokong UG sehinga melunturkan penentangan Pas pada rampasan kuasa kerajaan sah Perak oleh Umno, meninggalkan Nizar berjuang sendirian bersama DAP dan PKR sehingga beliau dimomokkan sebagai boneka DAP. Ini adalah kejayaan Fasa pertama bagi Umno dan penaja skim mereka.

Menumpaskan kerajaan sah Perak tidak menoktahkan perancangan skim Umno, peristiwa rampasan tidak mampu membunuh kesan pemerintahan baik kerajaan Nizar yang telah bertahkta dihati rakyat Perak walaupun usia kerajaan PR sekejap cuma, malah peristiwa rampasan menyebabkan hati rakyat luka, bernanah dan berulat. Maka, fasa ketiga skim besar umno perlu dijayakan, iaitu menumpaskan kepimpinan baik dalam barisan rakyat yang menaja penentangan terhadap UBN. Menumpaskan kepimpinan baik barisan rakyat bermakna memecahkan PR dengan membawa Pas kedalam kerajaan UBN.

Membawa Pas ke dalam kerajaan Umno, bermakna tiga kejayaan awal pada matlamat skim besar mereka. Pertama, kemasukan Pas akan melumpuhkan Pas sebagai parti dominan PR. Kedua, faktor Anwar Ibrahim akan turut luntur, kerana sokongan Ulama Pas adalah benteng kepada serangan fitnah Umno terhadap kewibawaan peribadi Anwar, kerosakan kepada kewibawaan ulama Pas turut melunturkan kebenaran Anwar sebagai pemimpin teraniaya. Ketiga, membawa Pas kedalam UBN bermakna Umno telah berjaya mendakwah dan mentarbiyyah pimpinan ulama Pas untuk menerima konsep politik kuasa dan material sepertimana Umno tetapi dengan rias imej agama. Dakwah Umno ini bakal merosakkan kewibawaan ulama Pas UG secara total, bahkan kesannya turut menghakis kepercayaan umum terhadap kepimpinan ulama didalam PR. Tanpa kepercayaan pada ulama dan nilai-nilai baik agama menyokong PR bermakna perjuangan rakyat kembali ke zaman gelap dimana kepimpinan Ulama belum bermula!

Sekiranya fasa ketiga ini benar-benar berlaku, maka berjayalah usaha menyelamat Umno. Umno tetap tegak dan hidup, kejayaan mutlak kepada para penaja skim yang saban hari menunggu hasil dari benih yang ditanam, menunggu sehingga menjelangnya 2020...

sam raspiut

No comments: