Sunday, May 31, 2009

SPOOKY ABDUH DAN KEPIMPINAN PRO ULAMA 'GANU.

rencana ini juga cerita lama, cerita basi yang dulunya telah disiarkan atas ehsan saudara TB dari blog malaysiawaves. terima kasih!!

Saya adalah dari daerah Besut, nak kata Terengganu bukan, nak kata Kelantan pun bukan, Orang Besut kata orang Kuala, kira-kira negeri atas pagar la… tak la sama macam Nik Abduh yang dengan sengaja menolak Kelantan dan barisan kepimpinan ayahndanya dan cuba beralih angin ke Terengganu yang terkenal dengan pemimpin ulamaknya yang khabarnya amat rajin beristikharah dan sering bermimpi jumpa nabi kononnya.. kita orang besut ni kira merdeka jiwa walaupun dianggap wilayah terbuang adanya..

Justeru itu, bila Nik Abduh begitu asyik memuji dan membela para kepimpinan Terengganu yang terjun dengan labu ajaib @ Kerajaan Perpaduan itu tidaklah pula kita rasa bangga… malah hairan juga lah adanya, samada si Abduh ini faham atau tidak maksud Kerajaan Perpaduan yang tidak pernah diterangkan dan diperinchi atau dimetrikkan oleh pemimpin ulamak yang diwala’kannya itu. Tertanya-tanyalah kita, hebat sangat ke idea Kerajaan Perpaduan atau Unity Government ini sampai bulih jadi penyelesai kemelut politik negara ini dan jugak masalah umat Islam melayu negara ini yang makin ramai sesat dan murtad? Hebat sangat ke Unity Government ini, agak-agak sama tak karutnya dengan konsep trinity yang diimani oleh para pengasas sistem demokrasi ini sampai si Abduh tergamak memaki hamun penyokong dan pendokong PAS yang amat dikasihi oleh ayahndanya?

Walaupun dari rimba mana si Nik Abduh ni datang memang tidak syak lagi dia anak Menteri Besar Kelantan kerana telah berbinkan Nik Aziz Nik Mat dalam IC pintar bermutu tingginya. Tapi, bagi penyokong dan orang yang mengasihi bapa beliau sebagai Tuan Guru dan Pemimpin Islam Kelantan yang disegani pasti susah nak percaya Tuan Guru ada anak yang bermulut cabul seperti beliau. Malah setiap rakyat Kelantan yang menyokong Tuan Guru mengasihi beliau sebagai seorang orang tua atau bapa atas sifat tinggi ilmunya, tidak mungkin mengaibkan beliau walaupun apa kaedah dan keadaannya... manakala si Nik Abduh yang bangga amat berayandakan Menteri Besar Nik Aziz ini memilih untuk menyerang sewaktu orang tua itu nun jauh di Mekah… kira licik jugek la pelan tu, haprak punya anak.

Kalaulah benar apa yang di tohmah si Abduh ini, mengapa tidak beliau gunakan kedudukannya sebagai timbalan ketua pemuda Pas Kelantan dan anak Menteri Besar Kelantan untuk menegur dan menasihati ayahndanya dan kepimpinan negeri Kelantan melalui muzakarah atau muqabalah yang kaedahnya di perakui oleh UMNO dan sekutu Terengganunya. Kecuali beliau tidak berupaya atau sebagai anak dia masih kurang baliq dan kurang akalnya walaupun sudah tua bangka untuk mencampuri urusan dan perbincangan orang tua-tua. Siapakah yang dimaksudkan Abduh orang-orang disekeliling bapanya? Pastinya para pemimpin Pas dan rakan-rakan syura ulamanya, anak dirumahlah layaknya. Sebagai pemimpin Islam sejati, sudah pasti beliau meminta dan memdengar pandangan pemimpin bawahan dan memgelakkan anak-anak dan keluarga mempengaruhi beliau, Pas adalah amanah rakyat kepada beliau bukan industri keluarga. Jadi selayaknya lah Tuan Guru membataskan ruang dan peluang anakndanya si Abduh dari melonjakkan kerjaya politiknya semata-mata kerana beliau, dengan lagak si Abduh ini pasti purak puranda lah kepimpinan negeri Kelantan jadi akhirnya.

Bila spooky Abduh ini melaknatkan para penyokong disekeliling TGNA kononya menyesatkan ayahndanya, bermakna boleh juga ditafsirkan TGNA sebagai pemimpin yang lemah dan tidak lagi berupaya menjadi pemimpin teladan yang menjadi penyuluh rakyat Kelantan dan PAS umumnya, juga boleh dianggap pemimpin sesat yang memimpin segolongan penyesat yang tidak mewala’ kan beliau sebagai Tuan Guru dan pemimpin agama. Kenyataan akhbar spooky Abduh telah membayangkan dengan jelas TGNA sebenar menyokong Kerajaan Perpaduan gagasan pemimpin bertaraf ulamak Hj Hadi Awang, tetapi tidaklah mampu menyuarakan sokongannya kerana telah tersesat akalnya oleh orang-orang (atau orang laknat itu?) disekelilingnya. Spesis janggut kambing mana la yang boleh percaya dengan dongeng wayang kulit macam ni? Kitab mana dan hukum mana pulak la yang telah dipakai spooky Abduh ni bagi memfardukan Kerajaan Perpaduan dan usaha muzakarah menyelamatkan melayu sampai kalau menolaknya boleh dilaknati tuhan… sah rosak saraf budak ni..

Benar atau tidak kenyataan spooky Abduh ini tidaklah penting sangat, tetapi hakikatnya tuduhan ini yang dibuat sewaktu ketiadaan TGNA yang masih sihat dan waras fikirannya bagi menjawab tohmahan adalah bersifat fitnah jahat untuk menghina TGNA dan barisan kepimpinan yang mendokong perjuangan beliau. Inilah yang dikatakan fitnah derhaka lidah biawak namanya, maka benarlah dikatakan iman itu tidak mungkin diwarisi.

Soalnya apa keuntungnya spooky Abduh menggasak bapanya sedemikian rupa, penting sangat ke isu kerajaan perpaduan yang dilihat seperti usaha mencurah minyak bagi memarakkan bara Hj Hadi yang hampir padam, yang beliau sendiri pun bila ditanya maksud terperinchinya tergeliat-geliat lidah nak menjawabnya. Boleh ke isu ini membawa kerjaya politik Nik Abduh melonjak mengatasi para pembantu TGNA yang tidak ulamak dan Edorgan itu sebagaimana anggapan penyokong kepimpinan ulamak Terengganu.

Apapun isu ini disambut gembira oleh penyokong Pas Terengganu yang menganggap kerjaya politik pemimpin ulamak yang di wala’ mereka banyak terbantut disebabkan pengaruh TGNA. Maka boleh lah dikata Nik Abduh dan kabilah al-wala’ Terengganu mempunyai asas kepentingan yang sama diatas kerosakan pengaruh dan peribadi Tuan Guru Nik Aziz hasil dari isu sesat ini. Bertepuk-tepuk gembiralah UMNO dan hubayanya bila diketahui rupanya mereka ada pencinta rahsia yang panjang-panjang belaka janggutnya sedang berusaha meminang mereka secara sah dan terbuka setelah beberapa kali berdating secara rahsia...

Adapun kita orang Besut ini rata-ratanya berfikiran terbuka.. tetapi kita amat bersimpati dengan Tuan Guru dan pengikut-pengikutnya yang telah dilabelkan sebagai Kumpulan Edorgan oleh rakan-rakan anaknya dari Kabilah al-wala’ dari Terengganu, hanya semata-mata kerana tidak mewala’kan pemimpin mereka, serta kurang keulamakan mereka kerana tidak dari pengajian aliran agama, tidak berserban dan tiada penambahan riak dihujung nama seperti al-iraqi, al-tantawi, al-fatani dan seumpamanya sepertimana barisan kepimpinan ulamak dari Terengganu.

Walhal kita-kita dari Besut ini turut berbangga dan teringin benar kalau juga digelar Edorgan, pasti gah. Edorgan walaupun tidak bergelar ulama’, bahkan jarang-jarang dapat mendengar azan dinegaranya yang sekular itu sanggup berjuang menegakkan islam walaupun terhad ilmu agamanya, malah sanggup berdepan memaki pemimpin yahudi. Apalah sangat kalau kita nak bandingkan dengan kepimpinan bertaraf ulamak kita yang berusaha keras cuba membawa negara kita yang Islam agama rasminya kearah negara Islam sekular melalui gagasan Kerajaan Perpaduan dan Dasar Assobiyyah Melayunya.

Hebat sangatkah gelaran kepimpinan bertaraf ulamak yang sangat dibanggakan oleh penyokong Pas Terengganu ini sehingga mengabaikan jasa pemimpin lain yang turut berjuang menyampai dakwah islam, yang kebanyakannya bekerjaya profesional iaitu mereka tidak menyara hidup menjaja agama dan tidak seperti mana-mana ulamak profesional yang agama dan politik adalah kerjaya rasmi mereka, tiada pun salah dengannya lagi moleklah adanya.
Tetapi, tidak perlulah memandang rendah pemimpin lain yang tidak sealiran dan sehaluan sehingga meminggirkan dan meremehkan sumbangan mereka dalam kerja agama. Jangan diukur baik dan buruk mereka melalui paras rupa, serban dan jubah, banyaknya kitab yang dibaca dan brand ijazah mereka. Bukankah orang mengiringi nabi s.a.w memasuki syurga adalah Bilal bin Rabah, cuma seorang hamba hitam yang tidak sebanding sahabat lain. Jadi, sudah-sudahlah mewala’kan pemimpin membuta tuli. Ulama’ pewaris nabi disisi tuhan bukanlah gelaran kekal, taraf ulama’ harus terus diperbaharui dengan usaha agama dan teladan kepimpinan yang berterusan, bukannya auto wala’ kerana cerita-cerita pemimpin sering bermimpi jumpa nabi. Para penyokong Pas sekarang sudah cukup matang dan waras menangani urusan ghaib sedemikian, manakala para spesis yang terkena sindrom wala’ pastinya pupus perlahan-lahan.

Bukannya kita tolak idea wala’ ni,bagus wala’kan pemimpin ini khususnya bagi pemimpin agama. Tapi terlebih wala’ jadi taksub, menyebabkan pemimpin jadi kebal dan mudah melakukan kesilapan kerana tidak boleh ditegur dan dianggap benar dalam segala hal. Sedangkan taraf ulama’ seseorang pemimpin agama itu bergantung pada margin kesilapan dalam menangani isu-isu agama. Kalau pemimpin ulama’ boleh melakukan kesilapan kerana dianggap ada hikmah disebaliknya, maka kaedahnya kita sama dengan pemimpin UMNO yang beraja dimata dan melanun dihati. Kaedah wala’ tak bertempat ini adalah fitnah pada agama, kalaulah terjadi demikian apa bezanya kita dengan pengikut Ayah Pin yang setengah mati mewala’ kan pemimpinnya itu.

Cuba kita lihat persamaan dan perbezaan mudah diantara Kabilah kerajaan langit Ayah Pin dan Kabilah wala’ Terengganu. Persamaan mudahnya satu, iaitu kedua kabilah ini pengikutnya sama-sama wala’ kan pemimpin setengah mati. Banyak tenaga dan usaha memerah fikiran mencari dalil dan hujah membela kesilapan pemimpin tahap hampir maksum mereka. Pada mereka pemimpin merekalah paling hampir dengan tuhan, bala’ lah bagi mereka yang engkar. Tiadalah orang lain yang lebih baik dan benar kecuali pemimpin mereka yang lebih benar semata-mata benar.

Perbezaan mudah diantara keduanya pula ialah, Ayah Pin dari kerajaan langit telah melakukan segala pelanggaran hukum samada logik akal, undang-undang mahupun agama dan telah mengistiharkan bukan Islam. Disebaliknya pula bagi kabilah wala’ Terengganu, pemimpin ulamak mereka hanya melakukan satu dua atau mungkin tiga kesilapan kecil sahaja, iaitu yang pertama menduakan iman dan memperduakan masjid diserata negeri Besut dan Terengganu akibat isu kafir mengkafir hasil ceramah dan nukilan beliau yang dimashurkan sebagai ‘Amanat Haji Hadi’ yang kemudiannya pada pasca PRU 9 & 10 beliau sahkan ralat sebagai petikan dari buku mutiara hadith terbitan JPM. Kita orang Besut tak akan lupa isu ini, kerana saya adalah antara remaja pertama yang menjadi makmum solat jumaat pertama dimarkaz Pas kampung saya yang bertukar menjadi masjid pertama Pas dibesut sebagai alternatif kepada masjid kerajaan yang iman dianggap kafir dan terkeluar agama pada waktu itu. Hasilnya imam yang kebetulannya sepupu tua saya dan siaknya dipenjarakan 3 bulan kerana mempertahan amanat pemimpin ulamak kita itu. Allhamdulillah beliau telah meninggal beberapa tahun kemudian tanpa mengentahui kesudahan babak terakhir sandiwara amanat tersebut.

Kesilapan kecil kedua, iaitu sebaik memenangi PRU 10 pemimpin ulamak Terengganu kite tanpa penerangan yang jelas telah mengeluarkan arahan supaya menutup semua masjid kedua Pas dan kembali pada masjid negeri, yang bermaksud imam-imam masjid kerajaan yang dulunya kafir atau terbatal akidahnya kembali menjadi islam secara automatik sebaik sahaja Tuan Guru Ulamak Pas kita memerintah negeri, sebagai bonus terimakasih kerajaan baru la gamaknya. Maka habis meracau, bengong dan dungu lah adanya pengikut Pas Besut memikirkannya dan ada yang sampai sekarang masih tercari-cari kitab mana yang Hj Hadi pakai sebelum dan selepas PRU 10.

Maka, bila tiba kesilapan kecil yang ketiga iaitu isu muzakarah, assobiyyah melayu itu islam dan unity government atau trinity… kite dah tak hairan lagi dah kitab mana demo pakai. Malas dah nak pikir muslihat dan matlamatnya. Biarlah si wala’-wala’ nya terjun dengan labu besarnya, kita ni orang jahil tak larat pun nak tegur ulaamak besar. Cuma kita hairan spooky Abduh yang berbapakan Tuan Guru Nik Aziz ini pun bulih terpikat dengan idea yang karut marut seperti ini. Setelah merenung seketika barulah kita paham hakikat bahawa setandang kelapa misti setidak-tidak ada sebiji nyior komengnya. Bahawa spooky Abduh ini dah lama mengidam tempat yang lebih baik dalam kepimpinan Kelantan, tetapi nampaknya telah diisi oleh edorgan-edorgan muda yang ternyata lebih baik dari beliau, bahkan lebih dipercayai oleh ayandanya. Maka kena celup jadi ulamak juga la sebab aura Tok Guru ulama’ kampung pakaian ayandanya kurang berprofesional sikit kalu nak banding dengan pemimpin ularmak Mustafa Ali dan para rakan ulamaknya dari Terengganu, barulah ada peluang menolak edorgan- edorgan yang tidak ulamak disekeliling ayandanya.


Kalaulah berjaya si Abduh ini, maka bulih lah dia menjadi ahli kelab Legacy Pemimpin Perdana yang masing-masing mempunyai wakilnya, iaitu KJ yang menyambung legacy Tun Lah, Mukriz mewakili Tun Det, Nurul Izzah, Lim Guan Eng dan lain-lain. Mereka ini rata-ratanya begitu menyerlah wibawa, karisma kepimpinan mahupun eloknya rupa paras. Kalaulah nak dibandingkan dengan mereka ini agak ketinggalan lah Nik Abduh didalam kerajaan perpaduan nanti, walaupun lagak dan gaya ada, tetapi agak huduh dan kurang sesuai sikit kalau Abduh nak bawak aura kepimpinan ulama’, dengan paras dia tu susah la sikit orang nak wala’.. terlebih spooky adanya dia.
Read more!

Friday, May 15, 2009

CERITA LAMA ORANG ALIM 'GANU

rencana ini cerita lama, cerita basi yang dulunya saya tulis kepada sebuah akhbar pro Pas, tetapi tidak disiarkan.. mungkin penulis yang tak dikenali jarang berpeluang meluahkan pendapat di akhbar ini, apalagi pendapat yang melawan arus!! Jadi saya siarkan dilaman ini sebagai pembuka tirai.. setidaknya untuk saya mengenang kembali usaha pertama menulis meluah pendapat!!

SURAT TERBUKA UNTUK AHLI DAN PIMPINAN PAS,

Saudara Pengarang,

Apa sudah jadi dengan Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, apa sudah jadi dengan Pas? Beria-ia bertandang ke belakang dapur Umno, kelibat jubah mudah dilihat walaupun besembunyi di balik bayang-bayang. Drama lawak versi mana yang sedang digarap atau versi keliru sebagaimana drama Sepet yang digarap oleh sutradara Yasmin Ahmad? Walauapapun apa matlamatnya, Pas dan kepimpinananya bukan pihak yang sesuai menggarap drama politik berhelah dan bermuslihat, mereka sepatutnya dilihat sebagai teladan politikus islamis yang penuh keterbukaan dan tegas dengan prinsip perjuangan.

Sebagai rakyat saya amat kesal bila Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang (TGHA) sebagai pemimpin agama bila ditanya pemberita Harakah berkenaan nasib Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSA) dalam menghadapi kes tuduhan liwat hanya menjawab dengan ringkas, dingin dan dalam nada yang memperlekeh isu yang menjadi fokus perhatian rakyat iaitu; serah kepada kebijaksanaan dan keadilan mahkamah. Syabas! Itu adalah satu pernyataan yang cukup kuat untuk memulakan episod baru drama politik hebat pada dekad ini. Walhal beliau dan seluruh pimpinan Pas tahu dan cukup berpengalaman dalam mentafsir status dan mutu keadilan mahkamah bagi kes-kes yang melibatkan kepentingan politik pemerintah. Apatah lagi kes DSA yang diketahui umum sebagai berkemungkinan satu konspirasi politik yang telah menafikan haknya mendapatkan perbicaraan dan keadilan yang sewajarnya.

Jadi, apakah komen yang selayaknya harus keluar dari mulut seorang pemimpin agama seperti TGHA? Kami sebagai rakyat pastinya amat berharap sebagaimana pemimpin hebat lain khususnya dari Pakatan Rakyat (PR) seperti Tuan Guru Nik Aziz (TGNA), Guang Eng dan lain-lain yang memperhalusi dan memperjelaskan pendirian mereka pada keperluan keadilan yang mutlak dalam situasi kes DSA yang lebih dilihat sebagai ‘knock-out’ politik! kalaupun tidak sebagai rakan pimpinan PR, tapi beliau sebagai pemimpin agama harus mampu memberi kata-kata yang lebih baik yang dapat meredakan kegusaran rakyat bahawa keadilan itu masih ada ruang secukupnya sekiranya DSA berada dipihak yang benar, kalaupun tidak di mahkamah BN setidaknya di mahkamah minda rakyat pengganut Islam kususnya. Bukankah begitu fungsinya ulama’ yang menghilangkan kekeliruan, kerisauan dan kesedihan umat?, membela maruah umat Islam yang jelas sekali tercemar kerana tuduhan kes tesebut, samada palsu atau benar, samada DSA rakan atau lawan dia tetap orang Islam yang berhak mendapat perhatian sewajarnya dari ulama’ dan pemimpin agama yang setiap kata-kata dan pandangan mereka ditunggu oleh rakyat, bukan sekadar kata-kata yang membayang maksud dan hasrat yang tersirat sebagaimana pemimpin Umno yang tidak sabar menumpaskan ikon reformasi ini bagi membendung kebangkitan rakyat sebagai fenomena sementara.

Mengapa begitu kaku, dingin dan agak egoist sesetengah pemimpin tetinggi parti agama ini dalam menaggapi isu DSA. Apakah matlamatnya, apakah kepentingan strategik yang boleh diraih dari isu DSA yang meloyakan minda rakyat yang beragama Islam ini? Adakah semata-mata hanya untuk membuka ruang muzakarah atau muqabalah bagi membela maruah orang melayu, raja melayu dan Islam khususnya? Apakah selari dengan kehendak rakyat yang cuba diwakili sebagai pemimpin agama dan ahli parti yang diwakilinya? Mengapa sekarang baru perlu adanya ruang bermuzakarah, mengapa tidak 10 atau 20 tahun dahulu sewaktu umat Islam Malaysia mula parah berpecah-belah, berkafir-kafiran seperti di Terengganu umpamanya. Apakah Pas sekarang berbeza dari Pas dahulu atau Umno baru ini sudah Islam setara seperti yang dituntut dahulu dan mengapakah pula TGNA begitu bertegas supaya usaha ini dihentikan segera!

Saya cuba memahami keadaan ini dengan menyoroti kembali sejarah perjuangan TGHA sedari akhir 70an dan awal 80an sehinggalah sekarang dari sudut pandangan saya anak jati Terengganu. Sewaktu itu TGHA sedang mengharum sebagai tokoh pimpinan muda Pas yang membawa angin perubahan atau reformasi yang membawa stuktur kepimpinan Pas kepada kepimpinan ulama’. Beliau bukan sahaja hebat sebagai tokoh ulama’ muda malah amat hebat berpidato dimana setiap pidatonya yang berlandaskan Al-Quran dan Hadith mampu menarik puluhan ribu hadirin pada waktu itu, tidak mampu ditandingi mana-mana pemimpin lain sehinggalah penonjolan DSA pada era reformasi.

Saya sendiri pada waktu itu diusia awal remaja tidak ketinggalan mengikuti bapa saya kemana sahaja menghadiri ceramah beliau dan pimpinan Pas Terengganu lain di daerah kami, Besut, Terengganu dan sehinggalah pada hari ini walaupun tidak pernah menjadi ahli Pas tetapi tetap menyokong Pas pada lima pilihanraya umum (PRU).

Pada waktu itu, pada setiap ceramah TGHA dan para pengikutnya dipenuhi oleh petikan ayat-ayat Al-Quran dan Hadith yang menerangkan pentingnya orang Islam beriman secara mutlak dengan menolak segala bentuk kemungkaran, pemerintahan, perundangan dan cara hidup yang lain selain dari Islam sebagai keterpesongan akidah, dan dimanifestifikasi sebagai ‘Amanat Haji Hadi’ (AHH). Pada setiap ceramah, ayat-ayat Al-Quran, Hadith dan hukum-hukum Islam yang dibacakan akan disahut oleh hadirin samada dengan laungan takbir atau kafir, kafir dan kafir. Fenomena ini telah mendorong pengikut-pengikut Pas Terengganu pada ketika itu secara taksub mengkafirkan orang Umno yang mana mereka tidak lagi dianggap sebagai orang Islam yang tulin, diharamkan sembelihan mereka, diharamkan sembahyang berimamkan mereka dan tidak wajib lagi menziarah matinya mereka.

Bersama bapa, sanak saudara dan orang-orang kampung lain yang sehaluan, saya antara remaja yang menjadi makmun terawal mendirikan solat jumaat secara berasingan di markas Pas tidak jauh dari masjid utama kampung kami. Imam reformis Islam ini pula iaitu saudara sepupu tua saya sanggup dipenjrakan selama tiga bulan bersama rakan siaknya kerana mempertahankan tindakanya mengimamkan solat jumaat kedua tersebut. Masyarakat Islam Terengganu di Besut khususnya terbahagi kepada dua fahaman tanpa mengira pertalian darah atau ikatan persaudraan hanya semata-mata untuk memilih menjadi Pas atau Umno, itulah pengorbanan mereka ahli-ahli Pas kepada angin reformasi yang dibawa oleh pimpinan ulamak pada ketika itu.

Perpecahan trajis ini berlaku dengan restu, selama lebih 20 tahun tanpa bantahan atau teguran dari pimpinan Pas ketika itu, malahan boleh dikatakan setiap markas Pas di Besut khususnya bertukar menjadi Masjid Pas. Saya fahaminya sebagai ekstrimis yang boleh diterima dan amat dialu-alukan bagi kelangsungan momentum kepimpinan Pas Terengganu di persada politik tanah air yang menenggelamkan bakat dan pengaruh kepimpinan Pas negeri lain yang lebih lembut dan berhemah.

Penonjolan TGHA sebagai pemimpin ulama’ besar Pas pada ketika itu dimanfaat kan sepenuhnya oleh pengikut-pengikut rapat beliau yang dahulunya adalah pemimpin-pemimpin kecil kampung berkerjaya guru, guru agama, guru swasta dan peguam syarie yang diberi label baru sebagai sebahagian dari barisan kepimpinan ulama’ yang kemudiannya mendominasi Pas Terengganu dan seterus Pas pusat. Boleh dikatakan mereka inilah yang menjadi benteng pemisah diantara TGHA dengan kelompok pimpinan lain. Dominasi kumpulan ini diperingkat pusat lebih ketara dengan kemasukan golongan professional Pas sebagai barisan pemimpin muda yang lebih opurtunis dan moderate, yang menganggap kelangsungan politik melebihi prinsip-prinsip perjuangan Islam Pas itu sendiri, mereka ini secara kolektif telah membentuk pendapat dan halatuju TGHA sebagai pemimpin utama Pas yang telah menggerakkan usaha muzakarah ini.

Kembali kepada sejarah, kemenangan Pas Kelantan bersama Semangat 46 dalam pilihanraya umum ke-8 telah mengangkat Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan sekali gus menonjol bakat kepimpinan baru Pas di persada politik tanah air dan juga di dalam Pas sendiri.

TGNA walaupun super senior di dalam Pas tetapi tidak begitu menonjol di luar Kelantan sebelumnya, kerana ia hanya lebih dikenali sebagai ulama’ Kelantan yang agak kampungan pada pandangan orang luar, begitupun pada orang Kelantan ia adalah tempat rujuk paling afdal berbanding kredibiliti beliau sebagai politikus Pas. Penonjolan beliau sebagai Menteri Besar Ulama’ pondok mengejutkan banyak pihak malah tidak kurang di dalam Pas sendiri, tetapi berkat ketulusan beliau, kesederhanaan beliau dalam apa juga keadaan dan juga ketegasan beliau dalam menangani isu-isu yang melibatkan agama mengangkat beliau sebagai pemimpin teladan yang meletakkan kepentingan agama, rakyat dan negeri Kelantan melebihi segala-galanya. Disebalik ketrampilan beliau yang begitu sederhana sebagai ulama’ pondok tindakan dan pemikiran beliau amat jauh terkehadapan dalam menangani isu-isu ummah. Islam ditangan TGNA begitu syumul mengetepikan segala fahaman moderate dan liberalisma islam.

Sesungguhnya TGNA telah memulakan era kepimpinan ulama’ melalui teladan yang sungguh jitu dan standard kepimpinan ulama’ yang diasaskan beliau sungguh tinggi dimana nilai-nilai kepimpinan beliau melampaui sempadan negeri dan bangsa. Maka berduyung-duyunglah rakyat khususnya orang bukan islam dari seluruh pelusuk Negara turun ke Kelantan untuk menyaksi, menilai dan mengagumi darjat kepimpinan beliau sekali gus menjadi kayu pengukur kepada pencapaian pemimpin lain. Fenomena TGNA ini bukan sahaja mengangkat martabat Pas sebagai fahaman politik dinamis yang berteraskan Islam bahkan mencetuskan inspirasi semangat keadilan kepada parti-parti politik lain yang bukan BN dan tanpa sedar sebenarnya Pas dan fenomena TGNA yang telah menggerakkan momentum kebangkitan rakyat sedari awal.

Walaubagaimana pun, penonjolan TGNA melalui teladan kepimpinan ini sedikit sebanyak telah menenggelamkan kredibiliti TGHA yang terdahulunya berpaksi kepada semangat reformis Islam mutlak yang menjadikan sekularisma dan orientalisma di dalam struktur pemerintahan Negara sebagai sasaran mudah serangan dan kemudiannya meletak beliau sebagai imej pencetus ekstrimis di dalam Pas. Sesungguhnya, agak lama Pas Terengganu dibayangi oleh pencapaian Pas Kelantan dan keadaan ini tidak begitu disenangi oleh kelompok opurtunis Pas Terengganu yang menguasai Harakah, lidah rasmi Pas yang tidak galak menonjolkan kelebihan, kejayaan dan ketokohan TGNA dan Pas Kelantan yang seharusnya dijual sebagai produk utama Pas.

Akhirnya, peluang untuk TGHA dan pimpinan Pas Terengganu menonjol kembali ketokohan mereka telah tiba pada PRU ke 10. Umno yang sakit tenat dengan krisis kepimpinan telah menghadiahkan kemenangan dengan memberi undi protes kepada Pas. Maka bergembiralah Pas Terengganu dengan juak-juaknya berdendang seribu harapan dan angan-angan. Kemenangan besar Pas dalam PRU ke 10 bukan saja mengubah senario dan geografi politik Pas malah turut mengubah cita-cita dan selera pimpinan Pas Terengganu. Gembar-gembur ‘Pas Kelantan untuk Kelantan, Pas Terengganu untuk Malaysia’ mula kedengaran, model kepimpinan dan konsep pentadbiran yang cuba ditonjolkan harus mempunyai impak yang lebih besar berbanding produk Pas Kelantan dan harus menjadi ‘rule model’ kepada negeri-negeri lain umumnya.

Bila muktamar Pas pada tahun tersebut diadakan di Kuala Terengganu saya turut hadir sebagai pemerhati, melihat sendiri bagaimana adun-adun Pas Terengganu berarak datang dengan mengenderai Mercedes-mercedes mewah, ghanimah dari kejatuhan Umno Terengganu, melihat sendiri bagaimana adun-adun ini yang dulunya berlabelkan politikus ulama’ yang selesa dengan kupiah dan jubah kumal kini datang bermuktamar dengan penuh gaya dan ketrampilan VIP, berjubah mahal dan sesetengahnya ber‘bush jacket’ menzahirkan sebahagian dari hasrat yang dulunya tersembunyi di sebalik jubah. Saya mengamati peristiwa-peristiwa itu dengan tanggapan sebagai bermulanya kronikal dan kejatuhan kerajaan Pas Terengganu.

Bermula dari cita-cita ‘Pas Terengganu untuk Malaysia’ dan juga menyedari kemenangan Pas hanyalah sedekah dari pengundi Umno, Pas Terengganu memulakan strategi memikat pengundi-pengundi Umno supaya terus kekal bersama Pas dengan menyediakan ruang dan peluang yang amat selesa untuk orang-orang Umno demi menzahirkan tanggapan segala apa yang mereka perolehi bersama Umno dulu juga mampu diperolehi bersama Pas. Mereka, pemimpin-pemimpin opurtunis Pas ini bersama suku-sakat Umno yang cuba dibeli bersama-sama membolot saki-baki kekayaan negeri lantas meminggir pengikut-pengikut bawahan Pas.

Tidak seperti Pas Kelantan yang menggalakkan rakyat membuka tanah-tanah pertanian baru secara berkelompok, Kerajaan baru Pas Terengganu tidak mengalakkan pembukaan tanah-tanah baru sewenang-wenangnya atas alasan pengikut Pas Terengganu berjuang untuk agama bukan untuk harta benda dan menghantar mesej ini keluar sempadan Terengganu sebagai ketelusan dan ketulusan kerajaan baru. Mereka, pengikut-pengikut bawahan yang jauh dari pimpinan Pas sekali lagi dinafikan hak khususnya untuk mendapat tanah-tanah pertanian dan kediaman setelah berpuluh-puluh tahun dinafikan hak hatta bagi mendapatkan subsidi baja sekalipun di bawah pemerintahan Umno, mereka hanya melihat dari jauh pesta pembahagian ghanimah yang sebahagian besarnya dianugerah kepada syarikat-syarikat yang rapat dengan kroni pimpinan atas nama pembangunan negeri.

Opurtunis-opurtunis Pas ini sekali lagi menjual Terengganu Darul Iman sebagai ‘role model’ dengan mempengaruhi TGHA selaku ketua negeri yang telah mengarahkan masjid-masjid haram Pas yang sebelumnya halal ditutup selama-lamanya dan makmum nya dibolehkan kembali berimamkan orang Umno dan dibolehkan kembali memakan sembelihan yang dulunya diharamkan melalui ‘Amanat Haji Hadi’. Pimpinan Pas Terengganu rupanya kembali tersedar bahawa pengundi Pas dan Umno masih lagi berpegang pada kitab dan tuhan yang sama! AHH hanyalah kesilapan teknikal, tersilap cetak dan palsu semata-mata! Inilah imej kepimpinan melalui teladan yang cuba diketengahkan oleh kerajaan baru Pas Terengganu bagi mengimbangi dominasi pimpinan Pas Kelantan dan seterusnya bakal menumbangkan kerajaan persekutuan BN pimpinan Tun Mahathir Mohamed pada ketika itu.

Bagaimana pula kami yang menyakini AHH sebelumnya? Terpesongkah kami? Berdosakah kami yang telah mengkafir saudara-saudara sedarah kami dalam Umno? Memang TGHA tidak pernah mengkafirkan mereka, tapi amanat beliau yang mendorong kami mengkafirkan mereka dan mengharamkan sembelihan mereka! Sebahagian besar dari kami juga tidak pernah mengkafirkan mereka dari Umno, tetapi menjadi Pas ketika itu bermakna kami mengkafir mereka melalui pemisahan hidup harian kami dari mereka, memutuskan sillaturrahim dengan mereka bila masjid kami berlainan dan khenduri-khendara mereka tidak kami raikan. Apa yang harus diyakini sekarang kepada saudara-saudara kami yang telah mati? Mati kafir atau mati Islam kah mereka? Apakah kesilapan ini boleh dilupakan ditelan masa atau mereka sesungguhnya akan kembali Islam sebaik sahaja Pas berkuasa memerintah negeri dan Negara.

Bapa saya yang seumur hidupnya pengikut Pas yang bekorban apa saja demi parti dan pernah berjuang bersama parti Rakyat bila Dato’ Asri membawa Pas bersama Umno menubuhkan kerajaan Perikatan, akhirnya selepas PRU ke10 kembali kepada saudara-saudara dan rakan-rakan Umno yang sekian lamanya dibuang, tapi malang bagi beliau tindakannya disalah tafsirkan dan telah diprovokasi oleh beberapa pemuda Pas yang berakhir dengan insiden pergaduhan. Bapa saya yang ketika itu berumur lebih 70 tahun terpaksa meninggalkan rumahnya di kejiranan pondok agama yang diasaskan oleh salah seorang pimpinan Pas Terengganu. Sehinggalah sekarang beliau masih dianggap pembelot walaupun tidak pernah menjadi ahli Umno. Mungkin inilah yang dikatakan fenomena perjanjian Hudaibiyyah pasca PRU ke10 dalam bentuk baru!

Akhirnya dalam PRU ke 11, Pas Terengganu tewas kembali. Sebagaimana Umno, Pas tewas kepada penyokong bawahannya yang sudah jelak dengan ketandusan jiwa dan ilmu kepimpinan di dalam Pas Terengganu. Mudah menjadi juara reformis Islam di dalam masyarakat yang taksub agama seperti di Terengganu, tetapi memenangi pilihan raya dan memerintah perlukan lebih dari sekadar bakat petah berpidato, ia memerlukan kemurnian hasrat, ilmu dan pengentahuan pentadbiran yang rata-rata tiada pada pimpinan Pas negeri Terengganu.

Dan sekarang, selepas gelombang kebangkitan PRU ke 12 mengapakah cita-cita Pas Terengganu ini bangkit kembali sedangkan mereka telah dianggap tewas walaupun Pas dan rakan-rakan PR menang besar di seluruh Negara. ‘The voter has spoken’ keputusan PRU telah pun menjelaskan aspirasi rakyat. Cukuplah di Terengganu.

Gelombang kebangkitan rakyat pada kali ini amat menyeluruh yang hasilnya nanti pasti dapat diramal oleh setiap rakyat. Umumnya mengentahui gerakan ini hasil dari ketidakpuasan hati rakyat khususnya golongan bukan melayu terhadap kelemahan pimpinan Negara, bukannya momentum kehebatan mana-mana pemimpin. DSA cuma ikon yang menyatukan kebangkitan rakyat dan pengundi di luar PR. Namun harus ingat untuk mengetuai kebangkitan rakyat berbilang kaum dan seterusnya mengganti kerajaan sediada bukan sahaja memerlukan ketokohan tetapi pemimpin mana yang lebih sesuai!

Lim Kit Siang amat berpengaruh mengemudi DAP tetapi dilihat tidak sesuai memerintah Malaysia malah Pulau Pinang sekali pun. TGHA pula telah dilihat sebagai bekas tokoh ekstrimis yang kini didampingi golongan opurtunis Pas, golongan ini dilihat amat bernafsu mengangkat TGHA melebihi kemahuan beliau sendiri. Manakala TGNA pula difahami berminat untuk Kelantan sahaja, walaupun rakyat berbilang kaum mungkin sanggup berkompromi demi beliau. Hanya DSA yang dianggap sesuai, yang boleh dan sanggup menanggani arus kebangkitan berbilang kaum ini.

Jadi, boleh difahami mengapa kelompok opurtinis Pas sanggup melihat dan menganggap kes tuduhan liwat DSA hanya sebagai tuduhan biasa seolah-olah reputasi akhlak beliau memang layak dituduh sedemikian. Menghantar DSA kepenjara atau menghapuskan imej beliau sebagai pemimpin berakhlak akan memberi ruang kosong kepada pilihan tokoh yang layak memimpin PR. Ketokohan TGHA dimata masyarakat Islam Malaysia dan Negara-negara Islam yang lain memberi ruang yang cukup besar kepada gerombolan opurtunis ini bermimpi sebagai orang kuat Perdana Menteri. Ghanimahnya pasti lebih besar berbanding apa yang diperolehi dengan memerintah Terengganu yang kehilangan royalti minyaknya, cuma mungkin mereka lupa kemenangan PR kali ini adalah kemenangan pengundi bukan melayu.

Jadi apakah keperluannya bermuzakarah? Mengapa assabiyyah melayu yang sekular, yang orientalis, yang dulunya diperangi kini dirunding keharusannya dan kewujudannya dalam kontek Islam yang merupakan prinsip asas perjuangan Pas.

Jawapannya mudah! Sekiranya Umno dan BN gagal membendung DSA dari menubuh pakatan kerajaan baru, maka gerombolan opurtunis dibelakang TGHA ini akan mempunyai ruang yang mencukupi untuk tawar menawar dengan Umno bagi mengekal kerajaan yang ada. Walaupun tidak jawatan TPM untuk TGHA sekurang-kurangnya jawatan-jawatan menteri dan timbalan menteri pasti didalam gengaman. Begitupun, mampukah mereka menahan para MP bukan melayu yang lari keluar dari BN disebabkan terkejut dengan kehadiran mereka? Sedarkah mereka pergabungan Pas acuan pimpinan Terengganu dan Umno Islam hadhari acuan Pak Lah Cuma membentuk pakatan Islam minoriti ketika ini. Mampukah mereka mentarbiyah Umno hadhari yang menjadi kemelut orang Islam melayu atau mereka yang ditarbiyyahkan oleh Umno hadhari.

Kalaulah benar ini adalah matlamat mereka dan kalaulah benar apa yang diramal ini berlaku bermakna kepimpinan Pas Terengganu bukan sahaja layak duduk berdamping dengan Umno dan Pak Lah pada waktu ini, bahkan mereka layak tidur sebantal dengan Umno dan BN sewaktu ‘Amanat Haji Hadi’ mula dikeluarkan 20 tahun dahulu!

Hasil dari usaha muzakarah ini dan juga teladan kepimpinan di Terengganu dulu bukan sahaja meruntuh kepercayaan sebahagian dari kami malah turut merendahkan darjat institusi ulama’ yang dijunjung tinggi. Mungkin kerisauan kami sebahagiannya reda kerana campur tangan TGNA yang menukarkan muzakarah kepada muqabalah dan menyatakan perjanjian persepakatan tidak akan berlaku sama sekali. Hakikatnya apapun panggilan untuk pertemuan itu ia hanyalah sebuah istilah, pastinya pertemuan ini hanya bersifat permukaan luaran yang tidak membawa apa-apa makna dalam menyelesaikan pertikaian setengah abad. Namun, pertemuan ini telah memeterai satu persafahaman yang memanfaatkan para opurtunis Pas sebagai kunci rasmi untuk mereka memulakan satu rundingan dibelakang tabir yang tidak dapat dilihat dan didengar tetapi dapat dihidu oleh rakyat, kerana sehebat manapun golongan opurtunis ini tidak bermakna mereka cukup bijak untuk menipu matahati rakyat.

Apa yang kurang dengan pakatan rakyat sehingga perlu wadah lain mencapai matlamat? Mengapa tidak ambil iktibar dari persepakatan Ansar dan Muhajirin. Mungkin orang bukan islam di dalam PR tidak menerima Islam sebagai anutan tetapi mereka tidak menolak atau memusuhi Islam seperti mana Abdullah bin Ubai memusuhi Islam. Sebenarnya mereka bersedia menerima kebaikan dan teladan kepimpinan Islam sebagaimana Ketua Menteri Pulau Pinang yang mengambil pemerintahan Saiyidina Omar Abdul Aziz sebagai model ikutan. Malah mereka tidak memaksa kita menerima agama baru sebagaimana Abdullah memdesak kita menerima Islam hadhari seolah-olah Islam telah mati dan patut diberi nafas baru, serta didakwahkan dipentas nyanyian dan hiburan.

Tidak mudah bermuqabalah atau berbalah dengan Umno yang terlebih pandai dalam hal ehwal Islam. Kalau benar demi kepentingan melayu dan Islam tinggalkan dahulu mereka, turunkan Umno dan bapa hadhari dari tampuk kuasa baru dapat diselamatkan mereka. Berilah peluang kepada PR. Samada kerajaan PR atau PKR ia tetap menyuburkan keadilan. Kerajaan yang subur dengan keadilan adalah kerajaan peralihan, peralihan kepada Kerajaan Islam yang penuh dengan nilai keadilan dan kesaksamaan. Tidak salah sabar menunggu sebelum mengambil peranan.

Manakala bagi kami, sewaktu para opurtunis ini bermuqabalah secara peribadi, kami akan bermusahabah menyesali dan menginsafi bahawa kami pernah silap dan khilaf memutuskan persaudaraan sesama Islam sewaktu zaman keliru dahulu. Wallahuallam.
Read more!