Friday, May 15, 2009

CERITA LAMA ORANG ALIM 'GANU

rencana ini cerita lama, cerita basi yang dulunya saya tulis kepada sebuah akhbar pro Pas, tetapi tidak disiarkan.. mungkin penulis yang tak dikenali jarang berpeluang meluahkan pendapat di akhbar ini, apalagi pendapat yang melawan arus!! Jadi saya siarkan dilaman ini sebagai pembuka tirai.. setidaknya untuk saya mengenang kembali usaha pertama menulis meluah pendapat!!

SURAT TERBUKA UNTUK AHLI DAN PIMPINAN PAS,

Saudara Pengarang,

Apa sudah jadi dengan Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, apa sudah jadi dengan Pas? Beria-ia bertandang ke belakang dapur Umno, kelibat jubah mudah dilihat walaupun besembunyi di balik bayang-bayang. Drama lawak versi mana yang sedang digarap atau versi keliru sebagaimana drama Sepet yang digarap oleh sutradara Yasmin Ahmad? Walauapapun apa matlamatnya, Pas dan kepimpinananya bukan pihak yang sesuai menggarap drama politik berhelah dan bermuslihat, mereka sepatutnya dilihat sebagai teladan politikus islamis yang penuh keterbukaan dan tegas dengan prinsip perjuangan.

Sebagai rakyat saya amat kesal bila Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang (TGHA) sebagai pemimpin agama bila ditanya pemberita Harakah berkenaan nasib Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSA) dalam menghadapi kes tuduhan liwat hanya menjawab dengan ringkas, dingin dan dalam nada yang memperlekeh isu yang menjadi fokus perhatian rakyat iaitu; serah kepada kebijaksanaan dan keadilan mahkamah. Syabas! Itu adalah satu pernyataan yang cukup kuat untuk memulakan episod baru drama politik hebat pada dekad ini. Walhal beliau dan seluruh pimpinan Pas tahu dan cukup berpengalaman dalam mentafsir status dan mutu keadilan mahkamah bagi kes-kes yang melibatkan kepentingan politik pemerintah. Apatah lagi kes DSA yang diketahui umum sebagai berkemungkinan satu konspirasi politik yang telah menafikan haknya mendapatkan perbicaraan dan keadilan yang sewajarnya.

Jadi, apakah komen yang selayaknya harus keluar dari mulut seorang pemimpin agama seperti TGHA? Kami sebagai rakyat pastinya amat berharap sebagaimana pemimpin hebat lain khususnya dari Pakatan Rakyat (PR) seperti Tuan Guru Nik Aziz (TGNA), Guang Eng dan lain-lain yang memperhalusi dan memperjelaskan pendirian mereka pada keperluan keadilan yang mutlak dalam situasi kes DSA yang lebih dilihat sebagai ‘knock-out’ politik! kalaupun tidak sebagai rakan pimpinan PR, tapi beliau sebagai pemimpin agama harus mampu memberi kata-kata yang lebih baik yang dapat meredakan kegusaran rakyat bahawa keadilan itu masih ada ruang secukupnya sekiranya DSA berada dipihak yang benar, kalaupun tidak di mahkamah BN setidaknya di mahkamah minda rakyat pengganut Islam kususnya. Bukankah begitu fungsinya ulama’ yang menghilangkan kekeliruan, kerisauan dan kesedihan umat?, membela maruah umat Islam yang jelas sekali tercemar kerana tuduhan kes tesebut, samada palsu atau benar, samada DSA rakan atau lawan dia tetap orang Islam yang berhak mendapat perhatian sewajarnya dari ulama’ dan pemimpin agama yang setiap kata-kata dan pandangan mereka ditunggu oleh rakyat, bukan sekadar kata-kata yang membayang maksud dan hasrat yang tersirat sebagaimana pemimpin Umno yang tidak sabar menumpaskan ikon reformasi ini bagi membendung kebangkitan rakyat sebagai fenomena sementara.

Mengapa begitu kaku, dingin dan agak egoist sesetengah pemimpin tetinggi parti agama ini dalam menaggapi isu DSA. Apakah matlamatnya, apakah kepentingan strategik yang boleh diraih dari isu DSA yang meloyakan minda rakyat yang beragama Islam ini? Adakah semata-mata hanya untuk membuka ruang muzakarah atau muqabalah bagi membela maruah orang melayu, raja melayu dan Islam khususnya? Apakah selari dengan kehendak rakyat yang cuba diwakili sebagai pemimpin agama dan ahli parti yang diwakilinya? Mengapa sekarang baru perlu adanya ruang bermuzakarah, mengapa tidak 10 atau 20 tahun dahulu sewaktu umat Islam Malaysia mula parah berpecah-belah, berkafir-kafiran seperti di Terengganu umpamanya. Apakah Pas sekarang berbeza dari Pas dahulu atau Umno baru ini sudah Islam setara seperti yang dituntut dahulu dan mengapakah pula TGNA begitu bertegas supaya usaha ini dihentikan segera!

Saya cuba memahami keadaan ini dengan menyoroti kembali sejarah perjuangan TGHA sedari akhir 70an dan awal 80an sehinggalah sekarang dari sudut pandangan saya anak jati Terengganu. Sewaktu itu TGHA sedang mengharum sebagai tokoh pimpinan muda Pas yang membawa angin perubahan atau reformasi yang membawa stuktur kepimpinan Pas kepada kepimpinan ulama’. Beliau bukan sahaja hebat sebagai tokoh ulama’ muda malah amat hebat berpidato dimana setiap pidatonya yang berlandaskan Al-Quran dan Hadith mampu menarik puluhan ribu hadirin pada waktu itu, tidak mampu ditandingi mana-mana pemimpin lain sehinggalah penonjolan DSA pada era reformasi.

Saya sendiri pada waktu itu diusia awal remaja tidak ketinggalan mengikuti bapa saya kemana sahaja menghadiri ceramah beliau dan pimpinan Pas Terengganu lain di daerah kami, Besut, Terengganu dan sehinggalah pada hari ini walaupun tidak pernah menjadi ahli Pas tetapi tetap menyokong Pas pada lima pilihanraya umum (PRU).

Pada waktu itu, pada setiap ceramah TGHA dan para pengikutnya dipenuhi oleh petikan ayat-ayat Al-Quran dan Hadith yang menerangkan pentingnya orang Islam beriman secara mutlak dengan menolak segala bentuk kemungkaran, pemerintahan, perundangan dan cara hidup yang lain selain dari Islam sebagai keterpesongan akidah, dan dimanifestifikasi sebagai ‘Amanat Haji Hadi’ (AHH). Pada setiap ceramah, ayat-ayat Al-Quran, Hadith dan hukum-hukum Islam yang dibacakan akan disahut oleh hadirin samada dengan laungan takbir atau kafir, kafir dan kafir. Fenomena ini telah mendorong pengikut-pengikut Pas Terengganu pada ketika itu secara taksub mengkafirkan orang Umno yang mana mereka tidak lagi dianggap sebagai orang Islam yang tulin, diharamkan sembelihan mereka, diharamkan sembahyang berimamkan mereka dan tidak wajib lagi menziarah matinya mereka.

Bersama bapa, sanak saudara dan orang-orang kampung lain yang sehaluan, saya antara remaja yang menjadi makmun terawal mendirikan solat jumaat secara berasingan di markas Pas tidak jauh dari masjid utama kampung kami. Imam reformis Islam ini pula iaitu saudara sepupu tua saya sanggup dipenjrakan selama tiga bulan bersama rakan siaknya kerana mempertahankan tindakanya mengimamkan solat jumaat kedua tersebut. Masyarakat Islam Terengganu di Besut khususnya terbahagi kepada dua fahaman tanpa mengira pertalian darah atau ikatan persaudraan hanya semata-mata untuk memilih menjadi Pas atau Umno, itulah pengorbanan mereka ahli-ahli Pas kepada angin reformasi yang dibawa oleh pimpinan ulamak pada ketika itu.

Perpecahan trajis ini berlaku dengan restu, selama lebih 20 tahun tanpa bantahan atau teguran dari pimpinan Pas ketika itu, malahan boleh dikatakan setiap markas Pas di Besut khususnya bertukar menjadi Masjid Pas. Saya fahaminya sebagai ekstrimis yang boleh diterima dan amat dialu-alukan bagi kelangsungan momentum kepimpinan Pas Terengganu di persada politik tanah air yang menenggelamkan bakat dan pengaruh kepimpinan Pas negeri lain yang lebih lembut dan berhemah.

Penonjolan TGHA sebagai pemimpin ulama’ besar Pas pada ketika itu dimanfaat kan sepenuhnya oleh pengikut-pengikut rapat beliau yang dahulunya adalah pemimpin-pemimpin kecil kampung berkerjaya guru, guru agama, guru swasta dan peguam syarie yang diberi label baru sebagai sebahagian dari barisan kepimpinan ulama’ yang kemudiannya mendominasi Pas Terengganu dan seterus Pas pusat. Boleh dikatakan mereka inilah yang menjadi benteng pemisah diantara TGHA dengan kelompok pimpinan lain. Dominasi kumpulan ini diperingkat pusat lebih ketara dengan kemasukan golongan professional Pas sebagai barisan pemimpin muda yang lebih opurtunis dan moderate, yang menganggap kelangsungan politik melebihi prinsip-prinsip perjuangan Islam Pas itu sendiri, mereka ini secara kolektif telah membentuk pendapat dan halatuju TGHA sebagai pemimpin utama Pas yang telah menggerakkan usaha muzakarah ini.

Kembali kepada sejarah, kemenangan Pas Kelantan bersama Semangat 46 dalam pilihanraya umum ke-8 telah mengangkat Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan sekali gus menonjol bakat kepimpinan baru Pas di persada politik tanah air dan juga di dalam Pas sendiri.

TGNA walaupun super senior di dalam Pas tetapi tidak begitu menonjol di luar Kelantan sebelumnya, kerana ia hanya lebih dikenali sebagai ulama’ Kelantan yang agak kampungan pada pandangan orang luar, begitupun pada orang Kelantan ia adalah tempat rujuk paling afdal berbanding kredibiliti beliau sebagai politikus Pas. Penonjolan beliau sebagai Menteri Besar Ulama’ pondok mengejutkan banyak pihak malah tidak kurang di dalam Pas sendiri, tetapi berkat ketulusan beliau, kesederhanaan beliau dalam apa juga keadaan dan juga ketegasan beliau dalam menangani isu-isu yang melibatkan agama mengangkat beliau sebagai pemimpin teladan yang meletakkan kepentingan agama, rakyat dan negeri Kelantan melebihi segala-galanya. Disebalik ketrampilan beliau yang begitu sederhana sebagai ulama’ pondok tindakan dan pemikiran beliau amat jauh terkehadapan dalam menangani isu-isu ummah. Islam ditangan TGNA begitu syumul mengetepikan segala fahaman moderate dan liberalisma islam.

Sesungguhnya TGNA telah memulakan era kepimpinan ulama’ melalui teladan yang sungguh jitu dan standard kepimpinan ulama’ yang diasaskan beliau sungguh tinggi dimana nilai-nilai kepimpinan beliau melampaui sempadan negeri dan bangsa. Maka berduyung-duyunglah rakyat khususnya orang bukan islam dari seluruh pelusuk Negara turun ke Kelantan untuk menyaksi, menilai dan mengagumi darjat kepimpinan beliau sekali gus menjadi kayu pengukur kepada pencapaian pemimpin lain. Fenomena TGNA ini bukan sahaja mengangkat martabat Pas sebagai fahaman politik dinamis yang berteraskan Islam bahkan mencetuskan inspirasi semangat keadilan kepada parti-parti politik lain yang bukan BN dan tanpa sedar sebenarnya Pas dan fenomena TGNA yang telah menggerakkan momentum kebangkitan rakyat sedari awal.

Walaubagaimana pun, penonjolan TGNA melalui teladan kepimpinan ini sedikit sebanyak telah menenggelamkan kredibiliti TGHA yang terdahulunya berpaksi kepada semangat reformis Islam mutlak yang menjadikan sekularisma dan orientalisma di dalam struktur pemerintahan Negara sebagai sasaran mudah serangan dan kemudiannya meletak beliau sebagai imej pencetus ekstrimis di dalam Pas. Sesungguhnya, agak lama Pas Terengganu dibayangi oleh pencapaian Pas Kelantan dan keadaan ini tidak begitu disenangi oleh kelompok opurtunis Pas Terengganu yang menguasai Harakah, lidah rasmi Pas yang tidak galak menonjolkan kelebihan, kejayaan dan ketokohan TGNA dan Pas Kelantan yang seharusnya dijual sebagai produk utama Pas.

Akhirnya, peluang untuk TGHA dan pimpinan Pas Terengganu menonjol kembali ketokohan mereka telah tiba pada PRU ke 10. Umno yang sakit tenat dengan krisis kepimpinan telah menghadiahkan kemenangan dengan memberi undi protes kepada Pas. Maka bergembiralah Pas Terengganu dengan juak-juaknya berdendang seribu harapan dan angan-angan. Kemenangan besar Pas dalam PRU ke 10 bukan saja mengubah senario dan geografi politik Pas malah turut mengubah cita-cita dan selera pimpinan Pas Terengganu. Gembar-gembur ‘Pas Kelantan untuk Kelantan, Pas Terengganu untuk Malaysia’ mula kedengaran, model kepimpinan dan konsep pentadbiran yang cuba ditonjolkan harus mempunyai impak yang lebih besar berbanding produk Pas Kelantan dan harus menjadi ‘rule model’ kepada negeri-negeri lain umumnya.

Bila muktamar Pas pada tahun tersebut diadakan di Kuala Terengganu saya turut hadir sebagai pemerhati, melihat sendiri bagaimana adun-adun Pas Terengganu berarak datang dengan mengenderai Mercedes-mercedes mewah, ghanimah dari kejatuhan Umno Terengganu, melihat sendiri bagaimana adun-adun ini yang dulunya berlabelkan politikus ulama’ yang selesa dengan kupiah dan jubah kumal kini datang bermuktamar dengan penuh gaya dan ketrampilan VIP, berjubah mahal dan sesetengahnya ber‘bush jacket’ menzahirkan sebahagian dari hasrat yang dulunya tersembunyi di sebalik jubah. Saya mengamati peristiwa-peristiwa itu dengan tanggapan sebagai bermulanya kronikal dan kejatuhan kerajaan Pas Terengganu.

Bermula dari cita-cita ‘Pas Terengganu untuk Malaysia’ dan juga menyedari kemenangan Pas hanyalah sedekah dari pengundi Umno, Pas Terengganu memulakan strategi memikat pengundi-pengundi Umno supaya terus kekal bersama Pas dengan menyediakan ruang dan peluang yang amat selesa untuk orang-orang Umno demi menzahirkan tanggapan segala apa yang mereka perolehi bersama Umno dulu juga mampu diperolehi bersama Pas. Mereka, pemimpin-pemimpin opurtunis Pas ini bersama suku-sakat Umno yang cuba dibeli bersama-sama membolot saki-baki kekayaan negeri lantas meminggir pengikut-pengikut bawahan Pas.

Tidak seperti Pas Kelantan yang menggalakkan rakyat membuka tanah-tanah pertanian baru secara berkelompok, Kerajaan baru Pas Terengganu tidak mengalakkan pembukaan tanah-tanah baru sewenang-wenangnya atas alasan pengikut Pas Terengganu berjuang untuk agama bukan untuk harta benda dan menghantar mesej ini keluar sempadan Terengganu sebagai ketelusan dan ketulusan kerajaan baru. Mereka, pengikut-pengikut bawahan yang jauh dari pimpinan Pas sekali lagi dinafikan hak khususnya untuk mendapat tanah-tanah pertanian dan kediaman setelah berpuluh-puluh tahun dinafikan hak hatta bagi mendapatkan subsidi baja sekalipun di bawah pemerintahan Umno, mereka hanya melihat dari jauh pesta pembahagian ghanimah yang sebahagian besarnya dianugerah kepada syarikat-syarikat yang rapat dengan kroni pimpinan atas nama pembangunan negeri.

Opurtunis-opurtunis Pas ini sekali lagi menjual Terengganu Darul Iman sebagai ‘role model’ dengan mempengaruhi TGHA selaku ketua negeri yang telah mengarahkan masjid-masjid haram Pas yang sebelumnya halal ditutup selama-lamanya dan makmum nya dibolehkan kembali berimamkan orang Umno dan dibolehkan kembali memakan sembelihan yang dulunya diharamkan melalui ‘Amanat Haji Hadi’. Pimpinan Pas Terengganu rupanya kembali tersedar bahawa pengundi Pas dan Umno masih lagi berpegang pada kitab dan tuhan yang sama! AHH hanyalah kesilapan teknikal, tersilap cetak dan palsu semata-mata! Inilah imej kepimpinan melalui teladan yang cuba diketengahkan oleh kerajaan baru Pas Terengganu bagi mengimbangi dominasi pimpinan Pas Kelantan dan seterusnya bakal menumbangkan kerajaan persekutuan BN pimpinan Tun Mahathir Mohamed pada ketika itu.

Bagaimana pula kami yang menyakini AHH sebelumnya? Terpesongkah kami? Berdosakah kami yang telah mengkafir saudara-saudara sedarah kami dalam Umno? Memang TGHA tidak pernah mengkafirkan mereka, tapi amanat beliau yang mendorong kami mengkafirkan mereka dan mengharamkan sembelihan mereka! Sebahagian besar dari kami juga tidak pernah mengkafirkan mereka dari Umno, tetapi menjadi Pas ketika itu bermakna kami mengkafir mereka melalui pemisahan hidup harian kami dari mereka, memutuskan sillaturrahim dengan mereka bila masjid kami berlainan dan khenduri-khendara mereka tidak kami raikan. Apa yang harus diyakini sekarang kepada saudara-saudara kami yang telah mati? Mati kafir atau mati Islam kah mereka? Apakah kesilapan ini boleh dilupakan ditelan masa atau mereka sesungguhnya akan kembali Islam sebaik sahaja Pas berkuasa memerintah negeri dan Negara.

Bapa saya yang seumur hidupnya pengikut Pas yang bekorban apa saja demi parti dan pernah berjuang bersama parti Rakyat bila Dato’ Asri membawa Pas bersama Umno menubuhkan kerajaan Perikatan, akhirnya selepas PRU ke10 kembali kepada saudara-saudara dan rakan-rakan Umno yang sekian lamanya dibuang, tapi malang bagi beliau tindakannya disalah tafsirkan dan telah diprovokasi oleh beberapa pemuda Pas yang berakhir dengan insiden pergaduhan. Bapa saya yang ketika itu berumur lebih 70 tahun terpaksa meninggalkan rumahnya di kejiranan pondok agama yang diasaskan oleh salah seorang pimpinan Pas Terengganu. Sehinggalah sekarang beliau masih dianggap pembelot walaupun tidak pernah menjadi ahli Umno. Mungkin inilah yang dikatakan fenomena perjanjian Hudaibiyyah pasca PRU ke10 dalam bentuk baru!

Akhirnya dalam PRU ke 11, Pas Terengganu tewas kembali. Sebagaimana Umno, Pas tewas kepada penyokong bawahannya yang sudah jelak dengan ketandusan jiwa dan ilmu kepimpinan di dalam Pas Terengganu. Mudah menjadi juara reformis Islam di dalam masyarakat yang taksub agama seperti di Terengganu, tetapi memenangi pilihan raya dan memerintah perlukan lebih dari sekadar bakat petah berpidato, ia memerlukan kemurnian hasrat, ilmu dan pengentahuan pentadbiran yang rata-rata tiada pada pimpinan Pas negeri Terengganu.

Dan sekarang, selepas gelombang kebangkitan PRU ke 12 mengapakah cita-cita Pas Terengganu ini bangkit kembali sedangkan mereka telah dianggap tewas walaupun Pas dan rakan-rakan PR menang besar di seluruh Negara. ‘The voter has spoken’ keputusan PRU telah pun menjelaskan aspirasi rakyat. Cukuplah di Terengganu.

Gelombang kebangkitan rakyat pada kali ini amat menyeluruh yang hasilnya nanti pasti dapat diramal oleh setiap rakyat. Umumnya mengentahui gerakan ini hasil dari ketidakpuasan hati rakyat khususnya golongan bukan melayu terhadap kelemahan pimpinan Negara, bukannya momentum kehebatan mana-mana pemimpin. DSA cuma ikon yang menyatukan kebangkitan rakyat dan pengundi di luar PR. Namun harus ingat untuk mengetuai kebangkitan rakyat berbilang kaum dan seterusnya mengganti kerajaan sediada bukan sahaja memerlukan ketokohan tetapi pemimpin mana yang lebih sesuai!

Lim Kit Siang amat berpengaruh mengemudi DAP tetapi dilihat tidak sesuai memerintah Malaysia malah Pulau Pinang sekali pun. TGHA pula telah dilihat sebagai bekas tokoh ekstrimis yang kini didampingi golongan opurtunis Pas, golongan ini dilihat amat bernafsu mengangkat TGHA melebihi kemahuan beliau sendiri. Manakala TGNA pula difahami berminat untuk Kelantan sahaja, walaupun rakyat berbilang kaum mungkin sanggup berkompromi demi beliau. Hanya DSA yang dianggap sesuai, yang boleh dan sanggup menanggani arus kebangkitan berbilang kaum ini.

Jadi, boleh difahami mengapa kelompok opurtinis Pas sanggup melihat dan menganggap kes tuduhan liwat DSA hanya sebagai tuduhan biasa seolah-olah reputasi akhlak beliau memang layak dituduh sedemikian. Menghantar DSA kepenjara atau menghapuskan imej beliau sebagai pemimpin berakhlak akan memberi ruang kosong kepada pilihan tokoh yang layak memimpin PR. Ketokohan TGHA dimata masyarakat Islam Malaysia dan Negara-negara Islam yang lain memberi ruang yang cukup besar kepada gerombolan opurtunis ini bermimpi sebagai orang kuat Perdana Menteri. Ghanimahnya pasti lebih besar berbanding apa yang diperolehi dengan memerintah Terengganu yang kehilangan royalti minyaknya, cuma mungkin mereka lupa kemenangan PR kali ini adalah kemenangan pengundi bukan melayu.

Jadi apakah keperluannya bermuzakarah? Mengapa assabiyyah melayu yang sekular, yang orientalis, yang dulunya diperangi kini dirunding keharusannya dan kewujudannya dalam kontek Islam yang merupakan prinsip asas perjuangan Pas.

Jawapannya mudah! Sekiranya Umno dan BN gagal membendung DSA dari menubuh pakatan kerajaan baru, maka gerombolan opurtunis dibelakang TGHA ini akan mempunyai ruang yang mencukupi untuk tawar menawar dengan Umno bagi mengekal kerajaan yang ada. Walaupun tidak jawatan TPM untuk TGHA sekurang-kurangnya jawatan-jawatan menteri dan timbalan menteri pasti didalam gengaman. Begitupun, mampukah mereka menahan para MP bukan melayu yang lari keluar dari BN disebabkan terkejut dengan kehadiran mereka? Sedarkah mereka pergabungan Pas acuan pimpinan Terengganu dan Umno Islam hadhari acuan Pak Lah Cuma membentuk pakatan Islam minoriti ketika ini. Mampukah mereka mentarbiyah Umno hadhari yang menjadi kemelut orang Islam melayu atau mereka yang ditarbiyyahkan oleh Umno hadhari.

Kalaulah benar ini adalah matlamat mereka dan kalaulah benar apa yang diramal ini berlaku bermakna kepimpinan Pas Terengganu bukan sahaja layak duduk berdamping dengan Umno dan Pak Lah pada waktu ini, bahkan mereka layak tidur sebantal dengan Umno dan BN sewaktu ‘Amanat Haji Hadi’ mula dikeluarkan 20 tahun dahulu!

Hasil dari usaha muzakarah ini dan juga teladan kepimpinan di Terengganu dulu bukan sahaja meruntuh kepercayaan sebahagian dari kami malah turut merendahkan darjat institusi ulama’ yang dijunjung tinggi. Mungkin kerisauan kami sebahagiannya reda kerana campur tangan TGNA yang menukarkan muzakarah kepada muqabalah dan menyatakan perjanjian persepakatan tidak akan berlaku sama sekali. Hakikatnya apapun panggilan untuk pertemuan itu ia hanyalah sebuah istilah, pastinya pertemuan ini hanya bersifat permukaan luaran yang tidak membawa apa-apa makna dalam menyelesaikan pertikaian setengah abad. Namun, pertemuan ini telah memeterai satu persafahaman yang memanfaatkan para opurtunis Pas sebagai kunci rasmi untuk mereka memulakan satu rundingan dibelakang tabir yang tidak dapat dilihat dan didengar tetapi dapat dihidu oleh rakyat, kerana sehebat manapun golongan opurtunis ini tidak bermakna mereka cukup bijak untuk menipu matahati rakyat.

Apa yang kurang dengan pakatan rakyat sehingga perlu wadah lain mencapai matlamat? Mengapa tidak ambil iktibar dari persepakatan Ansar dan Muhajirin. Mungkin orang bukan islam di dalam PR tidak menerima Islam sebagai anutan tetapi mereka tidak menolak atau memusuhi Islam seperti mana Abdullah bin Ubai memusuhi Islam. Sebenarnya mereka bersedia menerima kebaikan dan teladan kepimpinan Islam sebagaimana Ketua Menteri Pulau Pinang yang mengambil pemerintahan Saiyidina Omar Abdul Aziz sebagai model ikutan. Malah mereka tidak memaksa kita menerima agama baru sebagaimana Abdullah memdesak kita menerima Islam hadhari seolah-olah Islam telah mati dan patut diberi nafas baru, serta didakwahkan dipentas nyanyian dan hiburan.

Tidak mudah bermuqabalah atau berbalah dengan Umno yang terlebih pandai dalam hal ehwal Islam. Kalau benar demi kepentingan melayu dan Islam tinggalkan dahulu mereka, turunkan Umno dan bapa hadhari dari tampuk kuasa baru dapat diselamatkan mereka. Berilah peluang kepada PR. Samada kerajaan PR atau PKR ia tetap menyuburkan keadilan. Kerajaan yang subur dengan keadilan adalah kerajaan peralihan, peralihan kepada Kerajaan Islam yang penuh dengan nilai keadilan dan kesaksamaan. Tidak salah sabar menunggu sebelum mengambil peranan.

Manakala bagi kami, sewaktu para opurtunis ini bermuqabalah secara peribadi, kami akan bermusahabah menyesali dan menginsafi bahawa kami pernah silap dan khilaf memutuskan persaudaraan sesama Islam sewaktu zaman keliru dahulu. Wallahuallam.

No comments: